7 Buku Terbaik Separuh Pertama 2019
Saya rekomen yang terbaik untuk anda. Yang power gila, saya rahsiakan.
Borne oleh Jeff Vandermeer (novel)
Novel fiksyen sains yang membawa kita ke dunia yang indah dan menakutkan. Saya memang sukakan cerita-cerita pasca apokalips terumatanya yang bertemakan kasih sayang sebab itu jelah yang tinggal selepas semuanya musnah. Dan novel ini adalah tentang seorang perempuan yang jumpa makhluk ajaib bernama ‘Borne’ yang boleh bertukar rupa. Mereka menolong satu sama lain untuk lebih memahami dunia mereka dan mencari makna. Novel ini hampir buat saya menangis. Dan mengingatkan saya kepada karya seni paling unggul tahun 2014 iaitu The Last Of Us.
Born A Crime oleh Trevor Noah (autobiografi)
Mungkin buku kegemaran saya tahun ini. Tak pernah tengok pun komediri Trevor Noah atau mana-mana episod rancangan dia. Cuma tahu Trevor Noah melalui klip-klip di Facebook. Dan buku ini. Dia memang intelektual dan kelakar. Buku ini banyak mengenai ibunya. Kalau anda sayang ibu anda walaupun anda rasa ibu anda dan anda macam dua makhluk dari planet lain, anda pasti boleh relate dengan cerita-cerita dia.
The Rise and Fall of the Dinosaurs: A New History of a Lost World oleh Stephen L. Brusatte (sains)
Buku ini lebih kepada iklim, pemakanan, dan dunia dinosaur. Benda-benda sains dengan kapital ‘S’. Agak kecewa sebab tak ada bab tentang T-Rex lawan Triceratops ke apa. Bab paling menarik bagi saya ialah yang menerangkan macam mana brontosaurus boleh membesar sampai saiz leviathan walaupun dia makhluk darat.
The Batman Adventures: Mad Love (komik) oleh Paul Dini & Bruce Timm
Harley Quinn jadi tumpuan cerita. Kita dengar curhat dia, aspirasi dia, dan mengenalinya dengan lebih dalam. Dia gila, nakal, dan sangat, sangat attractive. Saya rasa ini cerita Batman kegemaran saya. Ditulis oleh penulis Batman the Animated Series (ini saja sudah cukup untuk anda membaca komik ini).
(Saya beli komik ini dengan harga yang murah gila di Bookxcess Starling Mall. Kalau nak, kena cepat!)
Aci Patmabi oleh Azmi Iskandar Merican (novel)
Berlararbelakangkan Pulau Pinang sekitar abad ke-19. Tentang keluarga kaya. Tentang kegagahan wanita. Tentang politik. Tentang sifat tamak haloba. Tentang masalah sosial. Tentang agama. Tentang duit. Tentang pengakhiran satu legasi. Novel ini kaya dengan konflik dan saya nak tengok ia dijadikan filem satu hari nanti…
The Murder of Roger Ackroyd oleh Agatha Christie (novel)
Bak kata Detective Pikachu, “very twisty.” Saya langsung tak rasa apa-apa emosi bila membaca novel Agatha Christie (ini yang kedua). Tapi cerita-cerita beliau sangat menarik. Amir Muhammad kata sebab pacing dan jalan cerita dan watak-watak dalam cerita beliau diolahkan dengan menarik sekali.
Semiosis oleh Sue Burke (novel)
Macam Borne, novel fiksyen sains ini amat mengerikan. Dan menggelikan. Saya banyak membaca novel horror tapi ini novel pertama yang buat saya gag.