Barbenheimer – Reviu Oppenheimer & Barbie
“Now I am become Barbie.”
“Barbenheimer” ialah jenaka internet tentang filem Oppenheimer dan Barbie yang menjadi satu fenomena.
Satu, filem drama berat dan gelap. Satu lagi, santai dan feminin. Dua-dua keluar serentak. Penonton kena tukar personaliti untuk menikmati kedua-dua filem ini pada hari yang sama.
Orang buat lawak: pakai serba hitam untuk tengok Oppenheimer kemudian salin baju pink untuk tengok Barbie.
Jenaka internet ini menjadi hype.
Saya turut menjadi mangsa hype ini.
Dan menyesal.
Disonannya memeningkan walaupun saya berehat selama dua jam selepas Oppenheimer.
OPPENHEIMER arahan Christopher Nolan
Saya tak berapa suka sangat Tenet dan Interstellar. Keterujaan saya tak berapi macam peminat-peminat Christopher Nolan.
Saya tertarik sebab Oppenheimer adalah salah satu tokoh sejarah paling menarik.
Kalau kita bercakap tentang Einstein, kita teringatkan teori E=MC squared. Oppenheimer pula, saya akan teringatkan tentang soal moral.
Lepas membina bom yang membunuh beratus ribu nyawa, dia petik sebaris ayat daripada Bhaghavad Gita, kitab suci Hindu, yang berbunyi:
“Now I am become Death, Destroyer of Worlds.”
Lepas melakukan dosa besar, dia terus jadi deep dan menyesal.
… Betul ke dia menyesal?
Filem ini tentang macam mana keghairahan Oppenheimer terhadap mekanik kuantum mendorong kepada penciptaan bom pemusnah dunia.
Dari segi spectacle, memang hebat. Visual, bunyi, muzik – berbaloi betul tiket RM35 tu.
Terutamanya di babak pertama. Tarian partikel dan gelombang digambarkan dengan visual yang memukaukan dan mengujakan.
Namun, filem ni tetap susah untuk kita hadam sepenuhnya.
Banyak adegan berlalu dengan sangat laju. Tak ada ruang untuk bernafas. Susah untuk saya tangkap detail plotnya sebab ini bukan saja filem tentang sains tapi juga filem politik dan ‘legal thriller’.
Oh, memang susah… Terutamanya untuk orang yang tak familiar dengan sejarah politik Amerika era itu.
Kita dengar watak-watak membincangkan McCarthyism, Nazi, nama-nama saintis Eropah diaspora, komunis, J. Edgar Hoover, dan lepas tu, Perang Dingin. Tambah lagi pula dengan teori fizik.
Weh. Sakit.
Walaupun berat, kita tetap boleh ikut emosi dan dramanya. Tiga jam berlalu dengan pantas sebab setiap scene — setiap syot! — hidup dan kaya dengan emosi.
Momen yang saya nanti-nantikan sudah tentu ujian bom atom di tengah padang pasir Los Alamos. The Trinity Test.
Sequence yang membawa kita kepada saat butang detonator itu ditekan sangat mengujakan. Nolan memang pandai membina saspens.
Malangnya, letupan itu sendiri tak memberi kesan yang besar pada saya.
Tak rasa ngeri melihat api setinggi 10,000 kaki itu.
Lepas letupan itu, di sejam terakhir, kita mengikut pula drama Oppenheimer membuat rayuan untuk mendapatkan security clearance dalam sebuah sidang kangaru.
Apa benda security clearance ni? Entah. Yang saya tau, ia penting. Dan di sini ia menjadi legal thriller di mana moral, prinsip, dan segala usaha Oppenheimer dipersoalkan.
Kita tengok sama ada Oppenheimer ini dianggap sebagai hero atau monster oleh negara dan kawan-kawannya.
Tapi, yang penting, perasaan Oppenheimer sendiri. Mampukah dia menerima hakikat yang dia telah mencipta instrumen penghancur dunia ni?
Ia terjawab di scene terakhir dengan imej yang sangat berbekas. Masih menghantui saya sampai sekarang.
BARBIE arahan Greta Gerwig
Terkejut bila dapat tau yang Greta Gerwig akan mengarah filem Barbie dulu. Lain betul daripada karyanya yang lepas iaitu Lady Bird dan Little Women — dua filem yang saya sangat, sangat, sangat, sangat suka.
Barbie mengisahkan seorang patung mainan Barbie yang tiba-tiba mendapat perasaan dan emosi manusia. Dia tak dapat lagi menikmati hidupnya di dunia yang sempurna, playful, dan meriah.
Sebagai konsep dan idea – cool, pandai dan relevan. Sebagai filem – agak hambar dan bersepah.
Tak ada fokus. Ini masalah yang besar terutamanya bila nak bawa tema dan poin penting.
Lego Movie menggunakan hubungan anak dan ayah sebagai emotional anchor di akhir filem.
Barbie pula? Syarikat Mattel dan legasinya.
Filem ini nak menanam semangat positif (memperkasakan wanita) dan pada masa yang sama, menjual nama baik syarikat pengeluarnya (Mattel).
Maka, dari segi niat, filem ini persis iklan raya yang panjang.
Yang lebih mengecewakan ialah komedinya. Banyak tak menjadi. Penonton di panggung saya senyap.
Watak di skrin buat lawak tapi saya tak dengar penonton ketawa. Cuma dengar budak kecil di baris belakang meragam.
Nasib baik bila lawak dia menjadi, memang betul-betul menjadi.
Saya terbahak kuat masa Barbie dan Ken nampak papan iklan untuk Miss Universe yang mereka sangkakan adalah Supreme Court Judges.
Dan scene terakhir filem ini adalah satu punchline yang sangat kelakar kerana ia menjawab persoalan yang saya sendiri tertanya-tanya.
Ken dalam dunia Barbie belajar tentang patriarki daripada dunia sebenar (dunia kita) dan dia bawa idea itu kembali ke dunia Barbieland.
Geli hati tengok patung-patung Ken memaparkan toxic masculinity. Selalu nak tunjuk pandai, nak jadi penyelamat, dan nampak cool (tapi hanya cool pada mata lelaki poyo).
Saya suka bahagian ini. Saya percaya ego lelaki mampu menghancurkan sebuah utopia.
Cuma ada satu scene yang kelakar tapi mengganggu saya. Scene tentang ‘film bro’. Bukannya tak suka sebab saya seorang ‘film bro’. Tapi sebab ia memang tak kena.
Greta Gerwig, kalau awak mulakan filem dengan shot-by-shot parody filem 2001: A Space Odyssey, awak tak ada hak untuk mempersendakan ‘film bros’. Sebab masa part ini, ‘film bros’ je ketawa. Penonton lain tak faham apa benda yang awak cuba buat.
Barbie tidak menampakkan ciri-ciri seorang hero super hebat dan itulah poinnya:
Orang sentiasa mencari kesalahan dan kekurangan perempuan.
Masyarakat membebani perempuan dengan macam-macam expectations yang terlalu tinggi dan tak masuk akal. Kena jadi hebat tapi tak terlalu hebat, kena kuat tapi tak terlalu kuat, kena itu, kena ini tapi jangan terlalu itu dan terlalu ini.
Kritikan yang perempuan terima tak sama dengan lelaki. Lelaki senang mendapat kemaafan. Perempuan, tidak.
Expectations masyarakat mengekang perempuan. Ini masalah yang kita boleh nampak merata-rata.
Tapi…
Tapi tak salah kalau saya expect filem yang luar biasa daripada pengarah sehebat Greta Gerwig… kan? Tak salah kalau saya rasa filem ini seronok tapi kecewa sebab ia terlalu biasa… kan?
Adakah expectations saya terlalu tinggi? Sebab hype ‘Barbenheimer’?
Atau adakah kekecewaan saya disebabkan oleh patriarki dan bukan sepenuhnya salah filem ini?
Entahlah.
Saya kena berdiri tepi tasik dan merenungi hal ini macam Oppenheimer.