Dunia Ini Hanya Sementara Jadi Jom Tengok Bob’s Burgers

Hadi M. Nor
4 min readJan 16, 2021

--

Sejak kebelakangan ini saya banyak menonton Bob’s Burgers secara berterusan. Habis satu episod, pasang seterusnya. Sebab: 1) VLC ada autoplay. 2) Laptop terlalu jauh untuk saya tekan stop. 3) Saya tak nak berhenti pun. 22 minit rasa terlalu sekejap.

Rancangan ini memberi saya nyawa dan saya hanya perlu baring dan menerimanya saja. Saya ibarat pesakit hospital, Bob’s Burgers ibarat IV drip.

Kartun ini tentang keluarga Belchers. Mereka tinggal di rumah kedai di tingkat atas restoran mereka bernama Bob’s Burgers.

Bob, ketua keluarga yang pasif dan bersikap wajar, memiliki restoran yang suam-suam kuku. Selain masalah kewangan, dia juga sering berdepan dengan masalah stres kerja dan juga ahli keluarganya yang gila-gila belaka.

Isterinya, Linda, ialah seorang wine mum yang periang. Dia kontra kepada Bob. Suaranya kuat dan dia bercakap dalam loghat New Jersey yang agak kekampungan.

Bintang rancangan ini bagi saya ialah anak-anak mereka. Anak sulung, Tina, ialah remaja perempuan serba canggung, lurus bendul, dan bersuara monotonous. Tina berada di antara alam kebudak-budakan dan keremajaan. Dia sukakan kuda dan ponies, pada masa yang sama sukakan buntut lelaki remaja.

Anak kedua, Gene pula budak lelaki yang ekspresif, goofy, dan selalu melontarkan lawak-lawak one-liner. Dia muzikal seperti Linda. Hubungan dia dan Linda amat rapat. Sangat rapat sampai orang lain kurang selesa melihat kemanjaannya.

Watak kegemaran saya ialah Louise, anak bongsu yang tak pernah menanggal topi telinga arnab pinknya. Dia nakal, anarkis, dan manipulatif. Sifat-sifatnya sama dengan Bart Simpson. Macam Bart, ada juga momen-momen di mana sisi baiknya mengatasi sisi jahatnya.

Pelanggan tetap restoran Bob’s Burgers ialah the loveable oaf, Teddy, seorang pekerja tukang. Teddy baik hati walaupun hidupnya sangat menyedihkan — bercerai, hidup sunyi, dan cuba sedaya-upaya untuk memenangi kasih Bob. Dia menganggap dirinya kawan baik Bob tapi Bob selalu rimas dengannya.

Di seberang jalan kedai/rumah mereka ada restoran pizza yang jauh lebih laku dimiliki oleh seorang douchebag bernama Jimmy Pesto iaitu musuh ketat Bob.

Ramai lagi watak yang mewarnai dunia mereka seperti kawan sekolah anak-anak Belcher dan tuan tanah yang gila duit.

Mereka tinggal di pekan tanpa nama yang terletak di tepi pantai. Ia meriah, ceria, dan tak sesak. Warna-warna terangnya meledakkan endorfin dalam otak dan menimbulkan rasa ingin pindah ke sana.

Satu episod Bob’s Burgers tak lengkap tanpa muzik. Boleh dikatakan rancangan ini separa muzikal sebab setiap episod ada satu lagu dinyanyikan wataknya. Lagu-lagunya sedap, catchy, dan comel walaupun liriknya lawak bodoh.

Bila rindu, saya mainkan lagu-lagunya di Spotify namun salah satu lagu terbaiknya, “ I Do” tak ada. Lagu kegemaran saya, “ Bad Stuff Happens in the Bathroom” mendapat 1 juta putaran di Spotify. Malah, ada satu versi dinyanyikan oleh The National dan Lapsley.

Walaupun kartun ini nampak macam mindless fun (most of the time, memang pun), kadang-kadang ia menyentuh topik yang berat dan matang. Episod pertama yang saya tonton ialah “Dream a Little Bob of Bob” (Episod 1, Musim 11).

Semasa mencari anak kunci, Bob teringat yang mungkin ia tertinggal dalam kereta. Masa mencari kunci itu, Bob terkejut tengok betapa kotornya keadaan kereta itu. Dia rasa seperti seorang yang gagal.

Belakangnya sakit apabila dia menunduk untuk mencari di lantai kereta kerana dia sangatlah out-of-shape. Dia baring dalam kereta untuk berehat lalu terlena dan bermimpi.

Dalam mimpinya, Bob menjadi kecil. Sebiji bola yang dibentuk daripada gelang getah terkumpul menjadi hidup dan menolong Bob mencari anak kunci itu.

Kemudian sekeping kaset motivasi juga mula bernyawa dan menolong Bob. Kaset itu bertajuk, “Strategies for Living: How to Become a Strategenius” yang dulu selalu dimainkan Bob kononnya untuk memberi semangat tapi tak berjaya. Kaset itu kini satu peringatan tentang betapa gagalnya hidup Bob dan sifatnya yang selalu putus asa separuh jalan. Kaset itu tanya Bob, “Hey, you haven’t played me in a while! Are you a millionaire now?”

Selepas melarikan diri daripada semut-semut yang bersarang dalam kereta kotor itu, Bob akhirnya jumpa anak kunci yang dicarinya. Namun, sampah-sarap dalam kereta itu mendapat kuasa ajaib lalu membentuk satu raksasa sampah dengan anak kunci itu di dada. Bob kena membina keyakinan dan memaafkan segala kegagalannya untuk membesarkan diri dan akhirnya melawan raksasa itu. Dengan pertolongan bola gelang getah dan kaset motivasi, Bob mencapai anak kunci itu. Dengan anak kunci itu dalam genggaman, dia terjaga.

Dia mendapati dirinya masih terbaring dalam kereta. Dia rasa seperti seorang yang baru. Dia teruja kerana dia berjaya mendapatkan anak kunci itu dalam mimpi. Adakah dengan berjaya dalam mimpi, dia berjaya di realiti? Dia membuka genggamannya… dan tak jumpa apa-apa. “Right. That wouldn’t make any sense,” katanya.

Anak kunci itu akhir sekali tak ditemui. Hilang selamanya. Tapi dia mendapat pengajaran penting tentang hidup melalui mimpi itu. Dia sedar yang dia perlu memaafkan dirinya untuk terus bahagia.

Jarang kartun keluarga dapat menyampaikan mesej yang mendalam atas struktur cerita yang padu dan diserikan dengan lawak-lawak bodoh. Walaupun banyak lagi kartun komedi yang lebih popular, Bob’s Burgers tidak tenggelam. Kartun ini setia pada gaya dan jiwanya tanpa mencuri gimik The Simpsons pasca musim 11, kesinisan Family Guy, dan kekasaran South Park.

Anda patut menonton kesemua 11 musim Bob’s Burgers sempena PKP 2.0 ini. Cucuk IV drip ini ke dalam urat anda.

Originally published at https://hmnorwriting.wordpress.com on January 16, 2021.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet