Fantasy Euro 2024

Terpaling bola walaupun dah jarang tengok bola.

Hadi M. Nor
6 min readJul 18, 2024

Bila mandi, kadang-kadang saya berangan jadi manager pasukan bola dalam sesi temu ramah post match.

Dengan kuasa imaginasi, dinding bilik air saya penuh dengan logo-logo para penaja dan saya segak memakai sut jenama Zegna.

“I sink ze boys did very good.” Saya manager berbangsa Perancis. “We did our best against a great team with a great manager.” Saya takkan lupa untuk memuji pasukan lawan sebab saya beradab. Gentleman. Good sportsmanship. “In ze second half we created plenty of chances.” Saya kongsi analisa saya secara umum. “But we were unlucky zis time.” Saya tak menang semua perlawanan. Punyalah realistik angan-angan saya walaupun sepanjang temu ramah ini air shower mencurahi muka saya sampai masuk mulut.

Saya dah lama tak ikuti perkembangan dunia bola sepak. Bila mula bermain Fantasy Football Euro 2024, saya rasa kekok. Tak kenal nama-nama baru.

Tapi sedar-sedar, saya dah ada app UEFA Gaming. Dah ada akaun. Dah ada pasukan sendiri.

Nama-nama team lain dalam liga yang saya sertai semuanya ‘puns’ yang berkait dengan bola macam ‘Kroos Kontrol’, ‘Rice Rice Baby’ dan (fav) ‘ChickenTikkaMoSalah’.

Saya terbayangkan Robert Lewandowski menyanyi, ‘My love is mine all mine,’ bila nak tukar nama kepada ‘LewanMitski’ tapi tak boleh sebab terlambat. Terpaksa saya kekalkan nama asal iaitu ‘Imagine Draggin Deez Nuts’.

Walaupun ilmu bola mutakhir saya agak cetek, saya tetap nak main Fantasy Football dan yakin saya boleh berjaya. Saya bukannya sengaja overconfident. Saya hanya ikut peredaran zaman. Kita dah melepasi ‘Information Age’ dan sekarang ini ‘Palatao Age’.

Seperti angan-angan saya, target untuk team saya juga realistik. Saya mahu dapatkan tempat di bahagian atas liga. Tak perlulah Top 10 ke apa. Top 260 pun sudah memadai sebab dalam liga itu ada 521 pemain.

Saya jumpa liga secara rawak di Reddit. Namanya IT’S COMING HOMEEE.

Dengan keyakinan seorang pseudo-pundit, saya membawa pasukan saya ke Euro 2024. Vamos!

Matchday 1

Dalam apa-apa usaha, bila kita gagal kita patut pergi kembali ke petak pertama dan bermuhasabah.

Tapi bila gagal di petak pertama, saya pun tak tau kita patut pergi mana. (Mungkin bermuhasarawak? Sorry.)

Mata Matchday 1 saya amatlah menyedihkan. Lebih sikit daripada kerusi parlimen UMNO.

Walaupun Simon, Kerkez, Kroos, dan Havertz meraih banyak mata, mereka tak diambil kira sebab saya masuk lambat. Pasukan mereka dah main masa tu jadi walaupun mereka meraih mata tinggi, saya tak dapat mata itu.

Saya guna dua defender Belgium sebab saya ingatkan Courtois main jadi mungkin boleh dapat mata ‘clean sheet’. Rupa-rupanya, Courtois mengangkang di rumahnya dan tak ikut pergi Euro. Dua ekor defender Belgium tu pun tak main juga.

Sedih saya tengok skuad saya. Kosong, kosong, kosong.

Jadi, untuk Matchday 2, saya memilih dengan lebih serius.

Matchday 2

Saya bawa masuk Faes dan Cancelo. Itu saja sudah cukup untuk memantapkan skuad saya. Pelik, sebab selalunya defender tak membantu sangat. Dalam fantasy football, Forward dan Midfield yang paling banyak mengumpul mata.

Saya jual Mbappe sebab dia injured. Hidung patah.

Saya juga mengkaptenkan De Bruyne sebab Belgium kalah di Matchday 1, jadi saya yakin mereka akan berikan segalanya untuk Matchday 2. Dan memang betul, mereka menang.

Matchday 3

De Bruyne kekal dependable. Walaupun mata yang dikumpul tak banyak sangat, tapi dia konsisten.

Saya dapat 39 mata saja untuk Matchday 3. Faes sekali lagi menyelamatkan pasukan saya begitu juga Chakvetadze (saya tak kenal siapa dia tapi ada baca artikel yang cakap dia adalah harapan Georgia).

Round of 16

Di sini, kemahiran palatao saya diuji.

Saya nampak di Matchday 3 ramai orang dalam liga saya hilang mata sebab mereka membuat Transfer melebihi had.

Setiap satu transfer yang lebih had akan ditolak 4 mata. Sebelum Round 16, kita diberi Transfer tanpa had jadi saya membuat rombakan padu dan mengatur strategi saya.

Lepas kira-kira, saya mendapati bahawa lebih selamat untuk memilih pemain-pemain daripada 4 pasukan yang saya pasti boleh masuk Semi Final supaya saya tak perlu membelanjakan Transfer terlalu banyak. Sebab kita di bahagian kalah mati. Kalau negara itu kalah, nak tak nak kita terpaksa tukar pemain yang kalah itu dan belanja Transfer.

Lebih banyak Transfer, lebih banyak hilang mata.

Jadi saya kaji bracket pertandingan. Saya tengok cabang-cabangnya dan buat ramalan: siapa akan menang, siapa akan kalah, siapa akan lawan siapa, dsb.

4 pasukan yang saya pasti akan masuk Semi-Final ialah England, Perancis, Belanda dan… Jerman atau Sepanyol?

Susah nak pilih satu sebab Jerman dan Sepanyol (pasti) akan bertembung di Quarter Final. Jerman berkemungkinan besar untuk menang sebab mereka tuan rumah. Sepanyol pula hebat.

Lagipun, Sepanyol mengiktirafkan Palestin sebagai negara jadi saya mahu mereka menang.

Kenapa saya hanya pentingkan Semi Final? Sebab saya merancang untuk guna chip ‘Wildcard’ di Semi Final dan chip ‘Limitless’ di Final.

‘Wildcard’ membenarkan kita untuk membuat sebanyak Transfer yang boleh dan skuad kita akan kekal. Bolehlah kita buat Transfer melebihi had tanpa ditolak mata.

‘Limitless’ pula membolehkan kita memilih siapa-siapa tanpa had budget namun skuad ini hanya wujud untuk satu perlawanan saja. Maka saya nak simpan untuk Final.

Kalau satu atau lebih daripada 4 negara yang saya pilih itu kalah, saya akan terpaksa menggunakan ‘Wildcard’ di Quarter Final.

Jadi saya kaji bracket. Saya kaji statistik semua pemain. Saya kaji Instagram mereka.

Saya tak pernah tengok Gakpo main tapi saya tahu dia pasti dia akan berjaya mengumpul beberapa mata daripada Assist atau Goal. Saya kaptenkan dia.

Ternyata setiap langkah saya tepat. Tak rugi saya membelanjakan waktu lewah saya membaca risalah dan blog bola dan Instagram pemain.

Untuk Round of 16, saya berjaya mengumpul 71 mata.

Quarter Final

Di sini, saya berserah kepada Allah SWT. Saya dah menaruh kepercayaan kepada 4 pasukan untuk mara ke Semi. Antara Jerman dengan Sepanyol, saya masih tak pasti mana satu akan menang jadi saya masukkan Carvajal. 1 pemain Sepanyol, 2 Jerman.

Saya terkejut Carvajal masih main lagi. Ingatkan dah bersara atau pindah ke liga Arab Saudi. Rasanya dah lama betul dia main. Maksudnya dah tua betullah Carvajal, ya?

Saya Google umurnya. Rupa-rupanya dia setahun lagi muda daripada saya.

Huh.

Apa-apa pun saya meraih 47 mata.

Semi Final

Saya dah selamat. Saya boleh gunakan Wildcard dan buat rombakan secara drastik walaupun saya tak perlu, sebenarnya. Pemain-pemain yang sedia ada memang mantap-mantap belaka.

Dapatlah 51 mata.

Final

Untuk Final, saya nak pilih semua pemain Sepanyol namun malangnya peraturan liga fantasi ini tidak membenarkan.

Maka saya letakkan pemain-pemain England bagi cukup syarat. Token.

Kita semua tau Sepanyol dah menang Euro tahun ini sejak mereka menumpaskan Jerman di Quarter Final. Pasukan lain semuanya teruk termasuklah England. Saya tau Sepanyol akan menang jadi saya tak tengok pun perlawanan tu.

Untuk Final, saya mendapat 48 mata.

Semua sekali 336.

Saya mendapat tangga ke-226 dalam liga. Matlamat saya untuk mendapat tempat di bahagian atas liga tercapai. Ternyata saya seorang manager yang hebat.

Saya senyum tak sudah masa buat temu ramah post-match dalam shower pagi itu.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet