Harapan Kita Untuk Menang

Hadi M. Nor
3 min readJul 14, 2021

--

(Saya tau masalah kita jauh lebih besar daripada masalah morale. Hospital kita tak cukup katil. Pusat-pusat Covid tak cukup pekerja dan pertolongan dan sebagainya. Penularan jauh lebih teruk daripada dijangka. Kadar kes bunuh diri meningkat secara drastik. Saya tak ada jawapan untuk semua masalah itu. Saya cuma harap dengan berkongsi what keeps me going akan membantu anda juga, yang sudah berbulan-bulan berkurung di rumah dan patah semangat.)

Ramai orang di media sosial berkongsi gambar dari Julai tahun 2020 di mana DG Hisham memegang placard yang bertulis “0” kes baharu Covid-19 di negara. Sedih bila mengenangkan hari tu sebab ada antara kita yang menghembus nafas lega dan bersorak gembira pada hari itu sudah meninggal dunia akibat Covid-19 pada hari ini.

Hari itu hari yang gemilang. Satu negara optimistik. Hidup belum normal tapi pelan-pelan, kita percaya yang semuanya akan pulih. Kita berbangga dengan kejayaan negara kita.

Ramai rakyat memuji pemimpin kerana mereka percaya kemenangan itu adalah sebab pemimpin. Sampai diberi gelaran “Abah”, “Pak Ngah”, “Pak Su”, dan sebagainya.

Walaupun saya geli, saya tidak membantah. Kerana mereka memberi harapan kepada rakyat. Bukan kepada saya. Saya cuma rasa getik. Tapi bagi orang lain, mereka akhirnya ada simbol harapan. Inspirasi untuk berjuang.

Masalahnya, kini terbukti yang pemimpin-pemimpin yang disanjung dulu rupanya tak boleh diharap. Harapan palsu. Rakyat dah nampak wajah sebenar pemimpin-pemimpin.

Dari disanjung, pemimpin semua disumpah dan dicaci.Tapi sumpah seranah yang datang daripada rakyat ini tak sampai pun ke telinga mereka. Ingat: mereka dikelilingi kaki bodek pada setiap masa jadi mereka hanya mendengar pujian. “YB betul, diaorang salah.”

Betulkah rakyat kehilangan figura harapan? Kalau anda mencari hero daripada kalangan pemimpin dan wakil rakyat, anda mencari di tempat yang salah. YB yang anda undi dulu sekarang ini sudah mula berfikir tentang pilihan raya yang akan datang. Mereka lebih mementingkan nama dan jawatan. Jangan cuba mengharap belas kasihan mereka. Nanti kecewa.

Kalau anda nak juga mencari hero, saya cadangkan anda tengok sekeliling anda. Di kawasan rumah anda. Jiran-jiran anda. Kawan-kawan anda.

Rata-rata saya nampak rakyat menolong sesama sendiri. Kempen Bendera Putih terutamanya membangkitkan semangat saya. Saya nampak ramai yang bertindak untuk membantu. Saya nampak kawan-kawan menderma makanan dan barang-barang dapur kepada orang dalam kesusahan.

Menurut buku Humankind oleh Rutger Bregman, manusia lebih bersifat murah hati bila di dalam krisis. Secara amnya, memang manusia lebih mementingkan diri, tapi bila berdepan dengan malapetaka, instinct takes over dan manusia akan cuba menyelamatkan orang sebelum menyelamatkan diri sendiri. Ada banyak contoh dan true accounts diceritakan dalam buku itu tapi sekarang ini saya tak ada mood nak cari.

Kepada yang memerlukan bantuan, saya faham meminta itu susah. (Inilah sesuatu yang orang kaya tak faham: it is painful to beg for help.) Tapi percayalah yang anda takkan menyusahkan sesiapa. Rakyat Malaysia memang prihatin. Bila berjumpa pun kita menyapa dengan, “Dah makan?” Jangan malu. Ada yang sedia membantu.

Kepada semua yang memberi bantuan, andalah harapan kita. Petugas kesihatan, pengusaha food bank, penderma, dan sebagainya. Termasuklah yang mendengar luahan hati kawan dan keluarga. Dan yang mencampak sisa makanan kepada anjing dan kucing jalanan. Dan yang buat video kelakar untuk kita ketawa. Dan lain-lain. Jasa anda terlalu besar. Hanya Tuhan mampu balas. Saya masih percaya masa depan negara kita cerah. Saya seorang yang optimis sebab saya sandarkan harapan kepada anda. Anda yang memberi kekuatan kepada semua. Selagi ada anda, kita ada harapan.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet