Hebat kan Malaysia? – M For Malaysia (2019)

Cerita tentang PRU-14. SPOILER: PH menang.

Hadi M. Nor
4 min readSep 16, 2019

Kita semua ada pendapat sendiri tentang Tun M tapi tak boleh dinafikan bahawa tanpa beliau, kita takkan dapat menukar kerajaan. Orang akan terus make dunno pasal skandal-skandal seperti 1MDB, dan Tabung Haji, dan skandal RM16 juta Finas, dan macam-macam lagi. Laman web ini akan terus digam. Kita takkan ada kebebasan untuk mengkritik kerajaan di media arus perdana. Untuk pihak mereka pula, ahli-ahli UMNO yang progresif takkan berani menyuarakan ketidakpuasan mereka. Dan Ahmad Maslan akan terus menyerikan kaca TV anda.

Saya nak tengok filem ini sebab saya nak rasa balik kegembiraan malam 9 Mei 2018 itu. ‘High’ tu susah betul nak rasa balik. Saya tak peduli apa orang cakap – ini filem propagandalah, apa la. Saya cuma nak tengok balik kejatuhan geng korup Najib. Meminjam kata-kata dari filem Brick, I want to see someone eaten, not someone fed.

Dokumentari ini adalah dari sudut pandang salah seorang pengarahnya iaitu Ineza Rousille, cucu kepada Tun M. Yang memegang kamera ialah Ineza sendiri. Sebab itu dia dapat menangkap sisi lembut Tun M. Buat pertama kalinya Tun M malu di depan kamera. Tun M menegur Ineza kerana merakamnya ketika makan. Rakaman pemimpin negara sedang makan tak boleh disiarkan, setahu saya. (Saya tahu sebab saya tengok rancangan Running Wild with Bear Grylls episod Barack Obama.)

Tun M amat lembut dan mesra dengan keluarganya. Ada satu scene di mana Tun Siti Hasmah memeluk Tun M. Tun M malu-malu meminta Tun Siti Hasmah untuk melepaskannya. “People will see!” kata Tun M dengan malu sambil menunjuk Ineza dan kameranya.

Tun Siti Hasmah cakap, “Let them see. Why can’t a wife hug her husband?”

Momen manis dan comel ini menyeronokkan — terutamanya setiap scene yang ada Tun Siti Hasmah. Namun mustahil untuk kita mengetepikan sejarah gelap Tun M. Interviu dalam filem ini yang paling menyayat hati ialah Wan Azizah. Dia menceritakan pengalamannya malam Anwar Ibrahim ditangkap dan dibelasah. Dan macam mana Anwar disangka telah meninggal dalam tahanan. Menurutnya, ‘someone’ diarahkan masuk bilik tahanan Anwar untuk menukar mentol lampu. ‘Someone’ itu nampak Anwar terbaring dengan selimut menutupi badannya, macam mayat. Sebab itu Anwar disangka telah meninggal.

Ineza cukup tabah dan berani untuk mendengar penderitaan orang bawah pimpinan atuknya dan menyiarkan dalam filem ni. Dia juga berani meluahkan perasaannya sendiri tentang Ops Lalang — titik hitam dalam sejarah politik Malaysia.

Saya sebenarnya mengharapkan interviu yang lebih mendalam dengan Lim Guan Eng tentang Ops Lalang. Dia yang pertama ditangkap dan terakhir dilepaskan. Saya ingatkan Guan Eng akan menceritakan pengalamannya dalam tahanan, betapa marahnya dia dengan Tun M ketika itu dan sebagainya. Mungkin ada drama sikit — mungkin ada cerita bagaimana dia menumbuk dinding penjara macam Jake LaMotta dalam filem Raging Bull. Tapi Guan Eng menekankan bahawa mereka telah berdamai. Dia dah move on, jadi dia tak meluangkan banyak masa mengenang masa itu. Terpaksa saya beri tabik hormat sebab saya seorang yang cukup susah nak move on.

Memang tak adil untuk menghakimi sebuah filem for what it’s not tapi saya rasa sayang filem ini tak sertakan banyak highlights PRU-14 kerana ia tertumpu pada Tun M.

Misalnya pada malam pilihan raya. Dalam dokumentari ini, kita bersama pemimpin-pemimpin PH yang gelisah dan cemas dalam “War Room” mereka walaupun apa yang lebih menarik ialah suasana di luar yang hanya ditunjukkan sikit. Kecemasan dan kegelisahan rakyat jauh lebih hebat dan chaotic daripada klip dalam dokumentari ini.

Tak dilupakan juga berita kelakar macam di pagi pilihan raya masa Azwan Ali mengamuk. Dia mengutuk profesionalisme SPR. Susah nak mengambil serius Azwan Ali, tapi apa yang dia cakap tentang SPR memang betul – “Election ni dah bertahun orang rancang. Kau kena jaga dua box – dua box, bukan dua juta box – boleh tersalah tag? Kau sekolah tak?!”

Itu semua tak ada dalam dokumentari ini kerana itu semua adalah PRU-14 dari sudut pandang rakyat. Apa yang saya cari tak ada. Saya tak dapat merasa balik kegembiraan malam 9 Mei 2018 itu. Saya amat menghormati Tun M dan saya amat bersyukur beliau kembali daripada persaraan selepas ramai orang meminta pertolongan beliau. Tapi saya tak rasa kemenangan PH adalah kemenangan beliau. Ia adalah kemenangan pengundi.

Walau bagaimanapun, Ineza dan Dian Lee telah menghasilkan sebuah dokumentari yang jujur, memuaskan, dan menghiburkan. Tak salah pun buat dikumentari meraikan Tun M, sebab macam saya cakap, beliau key player.

Bahagian paling saya suka ialah klip ceramah Najib di mana dia menjanjikan macam-macam handout kepada rakyat kalau BN menang pada malam sebelum pilihan raya disusuli dengan ceramah Tun M tentang betapa bengangnya rakyat. Kepada semua yang bersekongkol dengan MO1 dulu, kalau awak tak nak tengok filem ini pun, saya harap awak tengok klip ceramah Najib itu dan tengok semula keputusan PRU-14 supaya awak semua tak lupa bahawa rakyat Malaysia tak murah macam awak.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet