Hujan Emas Di Negeri Orang — Gold Rain And Hailstones (2019)
Sebuah teater tentang Melayu yang tak reti jadi Melayu.
(Tulisan ni dalam draf saya sejak 2019. Saya tak pandai reviu teater sebab jarang tengok. Tapi sebab Spilt Gravy On Rice tulisan the late great Jit Murad kini ada kat Netflix, saya post jela.)
Baru-baru ni, saya tonton teater tulisan Jit Murad yang asalnya dipentaskan pada tahun 1992. Kali ini di bawah arahan Gavin Yap dan dilakonkan oleh empat orang — Ghafir Akhbar, Sharifah Amani, Redza Minhat, dan Farah Rani.
Ia mengisahkan Amy, seorang Melayu pulang ke Malaysia kerana ayahnya sakit. (Fakta menarik: kalau anda Google “Melayu Celup”, akan keluar gambar Datuk Zahim Al-Bakri, pengarah asal Gold Rain and Hailstones.)
Amy, bak kata salah seorang watak, telah “Mat Salleh-fied”. Pemikirannya, pertuturannya, peradabannya, penampilannya — semua ikut Amerika. Dan bila dia kembali, dia menyedari yang seumur hidupnya dia tak pernah rasa bahawa Malaysia adalah tempatnya dan Melayu adalah identitinya. Dia mengalami krisis jatidiri.
Teater ini mempersoalkan: siapakah kita? Apakah erti Melayu? Deskripsi yang paling tuntas tentang cerita ini adalah seperti yang diucapkan oleh watak Man iaitu: mereka hidup dalam anxiety pasca-kolonial. Melayu kaya terlalu selesa dengan gaya hidup dan pemikiran orang putih tapi lepas merdeka, kita tak tahu nak hidup macam mana.
Barisan pelakonnya hebat-hebat belaka. Amy dimainkan oleh Farah Rani. On paper, watak ini agak kelakar: seorang Melayu intelektual yang Mat Salleh-fied cuba memahami pemikiran orang Melayu. Saya dah bersedia untuk mentertawakan si Amy ini dan berhibur dengan kejanggalan yang bakal dia lalui. Tapi… tidak. Farah Rani memberi dimensi kepada watak itu dengan menunjukkan keikhlasan Amy sampai kita tersentuh dan bersimpati kepadanya. Persembahannya memang istimewa. Syukur dia tidak mengkomedikan Amy (dia amat kelakar dalam teater Gadis Jalan Lebroy) dan meremehkan konfliknya.
Sharifah Amani memang pelakon yang gempak jadi memang orang expect yang terbaik saja. Namun dia masih mampu memberi kejutan. Dia memegang lapan watak dan dia boleh menukar-nukar dirinya dengan senang. Saya takkan boleh lupa satu babak di mana dia bermonolog dalam kadens seorang perempuan Melayu moden dan membuat penonton ketawa kemudian mood menjadi sedih dan dia menoktahkan monolognya dengan menghamburkan perkataan, “Binatang…” dengan kebencian yang datang dari dalam lubuk hati — sangat dalam, hampir terasa asidnya. Di atas pentas, Sharifah Amani mampu mengawal perasaan penonton dengan mudah sekali macam Leo Messi mengawal bola.
Redza Minhat pula membawa watak yang bernuansa — Man, seorang yang berkeyakinan tinggi yang menyembunyikan rasa bersalah, ketidakyakinan diri, malu kerana dilahirkan dalam keluarga kaya. Gerak-gerinya, suaranya, dan cara dia berdiri semua memaparkan seorang jock, malah bila bermonolog pun dia masih cuba jadi alpha. Tapi kelemahan Man yang sebenar dapat kita tangkap di setiap jeda, setiap kali dia menyimpulkan monolog dengan senyuman sumbing, dan dalam gugup suaranya terutama sekali di babak dia berjumpa dengan seorang pelacur. Redza Minhat berjaya menyorok dan pada masa yang sama menonjol kelemahan wataknya.
Ghafir Akhbar memainkan watak yang paling kelakar. Dia unapologetically gay dan dialah paling selesa dengan siapa dirinya antara semua orang. Konfliknya bukan dengan identitinya sendiri tapi dengan cinta. Saya berat nak cakap yang watak Jay adalah paling kelakar sebab kita selalu sangat dihidangi watak lelaki lembut atau gay sebagai comic relief tapi memang watak ini paling menghiburkan. Ghafir Akhbar membawa satu presence yang menyenangkan.