Ini Filem Shelley Duvall – The Shining (1980)
“The reviews were all about Kubrick, like I wasn’t there.”
- Shelley Duvall
Baru-baru ni saya tonton kembali The Shining dan rasa cinta saya terhadap filem seram arahan maulana Stanley Kubrick itu semakin mendalam.
Filemnya jauh lebih baik daripada novelnya. Novelnya ada beberapa adegan “seram” yang buat saya ketawa (terutamanya tang topiari berbentuk binatang menjadi hidup).
Penamatnya pun macam diambil daripada novel lain dan dimuatkan ke dalam novel itu. Saya pasti pembaca-pembaca Stephen King dah biasa dengan penamat yang mengecewakan. Dan, sekuel novel ini, Doctor Sleep, buat saya menyesal membelinya selepas membaca 12 muka surat.
Stephen King banyak kali mengutuk filem ni. Rasanya tak ada langsung benda yang dia suka tentang filem ini. Saya faham. Saya pun akan marah kalau orang mengadaptasikan novel saya yang biasa-biasa ke filem yang diangkat sebagai karya agung. Maka Stephen King – yang juga pernah mengarah filem iaitu Maximum Overdrive (1986) yang mendapat skor 17% di Rotten Tomatoes – mengutuk semua benda tentang filem arahan Kubrick ni.
Semestinya Duvall pun kena. King cakap: “…Wendy Torrance is just presented as this sort of screaming dish rag.” (King juga pernah tulis satu adegan di mana watak African American memanggil seorang Kaukasia ‘messah’ sebagai jenaka dalam novel Mr Mercedes yang diterbitkan pada tahun 2014. Maksudnya, dia sepatutnya hand in his shittalking card.)
Masa penggambaran filem ini, Duvall diseksa dan dibuli oleh Kubrick, dikutuk oleh King dan, bila keluar filem ini, dia dicalonkan Razzie bagi kategori Worst Actress.
Ini layanan yang dia dapat lepas bagi persembahan yang begitu hebat? Dunia dah gila.
Bila saya tengok The Shining balik, saya rasa persembahan Duvall gempak gila dan saya pelik kenapa dia tak mendapat pujian yang Kubrick dapat. Saya tak boleh bayangkan mana-mana pelakon lain yang boleh bawa watak itu sebaik Duvall.
Dia adalah epitome perempuan submisif. Nada suaranya tinggi dan lembut ya amat macam suara perempuan bercakap dengan kucing. Perempuan yang tegas akan tinggalkan lelaki berbahaya macam Jack Torrance. King cakap watak Shelley Duvall seolah-olah diwujudkan hanya untuk menjerit, tapi watak Wendy dalam novelnya bukannya heroic sangat pun. Dalam novel, dia diselamatkan oleh lelaki lain yang dipanggil secara psikik oleh anaknya. Dalam filem pula, Wendy yang menyelamatkan anak dia.
Adegan paling ikonik filem ini tentulah di mana Wendy terperangkap dalam bilik air dan Jack mengamuk memecahkan pintu dengan kapak. Jack menggila, dahagakan darah, buas, dah tak macam manusia. Wendy hanya mampu menjerit melihat mata kapak itu menembusi pintu. Adegan itu amat mencemaskan sebab Jack memang menakutkan dan Wendy pula nampak macam makhluk paling lemah dalam dunia. Watak “makhluk paling lemah dalam dunia” itu hanya boleh dibawa oleh Shelley Duvall.
Shelley Duvall adalah pelakon yang unik. Roger Ebert pun mengakui bahawa tak ada orang yang macam dia. Duvall bersara sejak tahun 2002 dan menyorok daripada mata umum sehinggalah tahun 2016. Dia muncul dalam satu interviu bersama Dr. Phil di mana dia meracau seolah-olah sudah nyanyuk. Saya takkan sertakan video itu di sini sebab saya amat sedih melihat keadaannya macam tu.
Apa yang saya nak cakap ini je sebenarnya: Stephen King patut bersyukur bakat yang luar biasa ini berlakon dalam filem adaptasi novel bangang dia.