Lancar Sepanjang Jalan – Stardew Valley

Mencari ketenangan dengan bercucuk tanam, memancing, dan membasmi monster dalam game Stardew Valley.

Hadi M. Nor
3 min readApr 24, 2023

Tahun ini jasad saya berpuasa dan beraya di KL tapi jiwa saya balik kampung… ke Stardew Valley.

Sepanjang bulan puasa, saya main dua game iaitu Stardew Valley dan Demon’s Souls. Dua pengalaman yang sangat berbeza.

Demon’s Souls – seperti game Soulsborne lain – mencabar, menjengkelkan, dan mengundang carutan. Stardew Valley pula nyaman dan menenangkan. Lebih berkesan daripada Xanax [citation needed].

Demon’s Souls ibarat shot, Stardew Valley pula macam chaser. Rasa tak sopan pula guna metafora arak pada bulan ini. Anyway —

Saya dah pernah main Stardew Valley dulu. Dekat 200 jam dah, menurut rekod akaun Steam saya. Kini saya main di Nintendo Switch pula. Selain update 1.5, tiada apa yang baru tapi saya masih belum jemu dengannya.

Gambar dicuri dari sini.

Ia sangat mendamaikan dan menyegarkan. Saya selalunya main dua jam sebelum berbuka supaya kurang sikit rasa lesu. Lebih senang menatap grafik piksel indah pada skrin Switch daripada menatap peta jejak pesanan Grabfood pada skrin telefon.

Banyak aktiviti kita kena buat dalam game ini selain bercucuk tanam dan menternak haiwan. Kita juga kena beramah mesra dengan semua penduduk di situ. Dari datuk bandar ke gelandangan yang tinggal tepi tasik. Kena berkawan dengan semua.

Boleh juga mencari jodoh. Seperti kebanyakan siri di Netflix, semua watak yang boleh dijadikan pacar dalam game ini LGBT. Jadi anda boleh pilih untuk mengahwini sama jantina tanpa menghadap diskriminasi.

Tapi Stardew Valley bukan hanya game santai dari awal hingga akhir macam Animal Crossing. Di sini, ada unsur bahaya (… sikit).

Bila turun ke bawah tanah untuk melombong, kita akan diserang macam-macam jenis raksasa yang comel belaka.

Macam Slime Monster, sejenis agar-agar bulat yang gasar; Skeleton, rangka hidup yang jalan macam Terminator; Dust Sprite, bebola hitam melompat-lompat macam yang dalam My Neighbour Totoro; dan banyak lagi.

Dunia Stardew Valley kaya dan fantastik. Makin kita progres, makin aneh dunianya.

Kita akan berkawan dengan makhluk pelik-pelik macam Dwarf dalam gua. Dan Corbus (saya tak tau dia makhluk apa) yang tinggal dalam longkang.

Walaupun dunianya luas dan berkembang, matlamat utama kita tetap sama: mengasihi orang dan persekitaran.

Kita menggali artifak dan mempelajari sejarah tanah kita. Kita memperbaiki struktur-struktur bangunan yang dah rosak. Kita berkawan dengan semua penghuni termasuklah yang bukan manusia. Pendek kata, kita harus mencintai segalanya dalam Stardew Valley.

Senang untuk hanyut dalam dunia ini. Sedar-sedar, dah malam dalam game dan saya kena bawa watak saya pulang ke rumah untuk tidur.

Bila watak saya tidur, saya kembali ke realiti di mana saya juga tidur sehingga azan maghrib berkumandang.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet