Last Of Us Part II

Hadi M. Nor
7 min readJun 30, 2020

--

AMARAN: Ada spoiler

Dengar sini baik-baik. Saya seratus peratus serius: pengalaman bermain Last Of Us adalah salah satu kenangan paling manis dalam hidup saya. Tidak, bukan kerana hidup saya menyedihkan. Memang game ini membuat saya takjub gila. Macam melihat aurora borealis. Saya tak pernah tengok aurora borealis tapi saya bayangkan perasaan takjubnya sama dengan bermain Last Of Us.

Setelah bertahun-tahun saya masih merinduinya. Punyalah dekat game itu dengan saya, rasa macam game tu sebahagian hidup saya. Bila trailer untuk Last Of Us 2 keluar, saya rasa hidup saya kembali bermakna. Hidup saya ketika tu macam lagu tema Friends tapi bahagian bridge saja, tanpa chorus. “ It’s like your life is stuck in second gear / It hasn’t been your day, your week, your month or even your year”. Itu je.

Dua tahun saya tunggu untuk bermain game ini. Dan penantian saya berbaloi. Game ini sebuah karya agung.

Yang buat Last Of Us diangkat sebagai sebuah mahakarya ialah ceritanya. Susah untuk Last Of Us Part II mencapai kecemerlangan itu.

Last Of Us Part II membawa cerita yang lebih kompleks dan mendalam daripada pertama. Sesuai untuk siri TV HBO (dan memang akan diadaptasikan kepada siri TV HBO pun).

Perbezaan paling ketara antara I dan II ialah semangatnya. I lebih Disney; dua orang berbeza personaliti terpaksa berkelana sama-sama dan dalam perjalanan, mereka belajar untuk saling sayang-menyayangi satu sama lain.

Dalam I, perjalanan Joel dan Ellie diserikan dengan detik-detik manis. Ellie ketika itu baru mengenali dunia dan dia membuka mata Joel untuk nampak keindahan dunia. Last Of Us II pula bertemakan dendam dan kemarahan. Tema yang sangat maskulin. Tak ‘yas queen’ langsung.

Game ini ganas, agresif, dan brutal tapi pemain kena bersabar. Sebab ini game stealth. Kesabaran anda akan diuji. Orang jenis yang cepat putus asa membuka ikatan teh ais ikat mati pasti akan gagal dalam game-game stealth.

Walaupun saya tak hebat, saya suka. Membunuh musuh secara senyap-senyap dan bersih jauh lebih memuaskan daripada headshot. Lagipun stealth game ini tak pernah menjemukan walaupun sama je di setiap tempat dan tak begitu berbeza dengan LOU pertama.

MO lebih kurang sama: Menyorok belakang kotak, perabot atau kaunter. Campak botol untuk mengalihkan perhatian orang/zombi. Bunuh orang/zombi secara senyap-senyap menggunakan pisau atau panah atau pistol yang dipasang suppressor.

Saya jarang berjaya melepasi sesuatu tempat yang ada ramai orang jahat tanpa dikesan. Saya selalu terpaksa menggunakan pendekatan (yang juga adalah deskripsi paling tepat untuk peribadi saya) “dumb and loud”.

Kita kena selalu merancang sebelum bertindak. Tak adalah serumit mana rancangannya. Lazimnya macam ni je: “Okey, 1) campak botol ke sana. 2) merangkak ke situ.” Saya okey dengan cara pemainan ini cuma tak tau kenapa saya selalu kantoi.

Kalau kantoi, kita boleh melarikan diri. Tak macam kebanyakan game-game stealth lain di mana kalau kantoi, terus dikira gagal. Saya selalu kantoi (atau memang game ini sengaja mengantoikan saya?) dan bila kantoi, saya akan menekan butang L1 dan mengucapkan, Sayonara, suckers!

Bersyukur sebab game ini memberi pilihan itu kepada pemain. Tak adalah tertakluk pada satu corak permainan saja.

Saya main dengan serius selagi boleh. Bila tahap keyakinan tinggi, saya akan main macam game Hitman; bunuh seramai boleh dengan senyap. Kecuali bila ada anjing. Setiap kali ada anjing, saya akan membunuh anjing dulu sebelum membunuh tuannya.

Susah sebab AI dia bijak. Bernyawa dan berotak. AI dia tau di mana kita menyorok dan mereka sering berkomunikasi dengan satu sama lain. Memang menambahkan lagi kepada realisme game ini tapi… annoying la.

Stealth bila berlawan dengan manusia lebih menakutkan daripada bila stealth di tempat yang penuh dengan zombi. Zombi dalam Last Of Us 2 tak banyak berbeza daripada yang pertama. Paling menjengkelkan sekali ialah Clickers dan kita dah pernah bertempur dengan Clickers sebelum ini.

Tapi saya banyak kali sangkut di satu bahagian boss fight sebagai Abby…

Rat King Zombie.

Ada tiga sebab saya benci makhluk ni: 1) Membunuhnya tak susah tapi kita perlukan banyak peluru, bom, dan kena sentiasa berlari. 2) Kena bunuh juga, tak boleh lari. Saya lebih hebat melarikan diri daripada bertempur. Di sini kita tiada pilihan. 3) Rasa macam game Resident Evil.

Selalunya raksasa menjadi tarikan utama untuk sesuatu cerita sci-fi horror. Namun, dalam game ini, saya lebih tertarik kepada dunianya.

Dunia dan persekitaran Last Of Us memang berhantu. Suasana hening dan imej-imej peninggalan macam bangunan terbiar, kereta berkarat, jalan konkrit berlalang, dan sebagainya menimbulkan melankoli dan ketenangan. Kalau wujudnya game walking simulator dalam dunia Last Of Us Part II, saya takkan teragak-agak untuk beli dan main dan kemungkinan besar akan clock in 200 jam.

Sebahagian besar game ini mengambil tempat di Seattle. Bandar yang selalu hujan. Menambahkan estetik dunia tinggalan peradaban manusia. Latar yang baik untuk peperangan yang sedang berlaku iaitu antara dua puak — WLF dan Seraphites. WLF adalah grup militia. Hei, kita di Amerika Syarikat. Mestilah kena ada askar swasta.

Seraphites (atau Scars) adalah sangat, sangat cool. Kultus dan ajaran sesat memang trope cerita pasca-apokalips sebab bila manusia terdesak untuk mencari pedoman, mereka jadi lebih senang untuk dipengaruhi. Masa dunia kiamatlah paling senang untuk sebuah kultus ajaran sesat berkembang. Macam MLM juga bila ekonomi negara merudum.

Cara Seraphites berkomunikasi, iaitu dengan bersiul, gila scary bagi saya. Meremang bulu roma setiap kali dengar. Sama je Seraphites dengan WLF. Bila ditembak, mati juga. Tak susah pun bunuh mereka. Cuma pakaian dan gaya mereka lebih mengerikan. Atau mungkin saya memang takut dengan semua penganut agama yang radikal.

Bayangkan kalau kita hidup di dunia pasca-apokalips. Tak ada telekomunikasi, jadi masing-masing hidup bersuku dan terasing. Bila macam tu, pastinya akan wujud permusuhan (sedangkan duduk dekat-dekat pun dah bermusuh). Kita akan terpaksa memilih untuk setia pada satu pihak atau puak. Begitu juga dengan pemain LOU2. Tak ada orang yang sama rata suka Ellie dan Abby. Mesti satu tu lebih digemari.

Perjalanan cerita dan gameplay Abby, sangat mengujakan. Dia seorang pahlawan (untuk perempuan, ‘pahlawati’ ke?) yang insaf dan tak nak berlawan dan bermusuhan lagi. Itu cerita yang dah seribu kali saya dengar dan tonton tapi tak pernah jemu.

Saya suka Abby sebab saya suka Lev iaitu watak non-binary paling muda dalam sejarag video game. Lev selamatkan Abby dan Abby selamatkan Lev. Lev menolong Abby mengatasi fobianya, iaitu tempat tinggi dalam misi yang menjadi kegemaran saya. Dan melihat keberanian Abby, Lev juga tergerak untuk mengatasi fobianya sendiri iaitu laut dan merempuh ombak seorang diri untuk kembali kepada maknya.

Abby memang ada redeeming qualities. Satu je benda yang betul-betul mengganggu saya tentang Abby. Dia ada Israeli soldier vibe. Susah nak terangkan kenapa saya rasa macam tu. Mungkin sebab muka dia garang atau sebab ditunjukkan dalam flashback yang dia dilatih untuk menjadi askar sejak kecil.

Sebagai peminat Last Of Us, tentulah saya lebih suka Ellie. Saya sayang Ellie, dammit. Bagi yang pernah main Last Of Us, pasti akan rasa macam Ellie ni anak kita sendiri (atau saya seorang je rasa macam tu?). Dia comel. Dia quirky. Dia suka benda-benda pelik macam komik picisan dan filem-filem gred B. Dia pandai main gitar dan berjiwa rock n’ roll.

Malangnya, Ellie dalam Part II tak langsung macam Ellie yang kita suka. Dia agak… membosankan. Saya suka dia sebab saya suka dia dalam game lama je.

Di bab Seattle Day 3 di mana berlakunya konfrontasi antara Abby dan Ellie dalam bangunan teater itu, susah betul untuk saya membelasah Ellie sebagai Abby. Saya nak bermain sebagai Ellie. Kenapa game ini tak beri pilihan? Kenapa game ini memaksa saya memukul ‘anak’ saya sendiri?!

Satu-satunya sebab saya berlawan dengan Ellie sebagai Abby ialah saya nak ceritanya bergerak. Itu je. Kalau game ini beri pilihan untuk saya bunuh Abby di situ dan habiskan game di situ juga, saya akan melakukannya tanpa was-was. Penggali kubur kena sediakan liang lahad yang besar untuk menyimpan mayat seorang kakak sado.

Memang Abby baik dan dia ada hak untuk berdendam dengan Joel. Cuma… susah untuk memaafkan Abby. Sakit hati tengok Joel dibunuh dengan kejam macam tu. Kuat impaknya. Buat ramai orang menangis. Tapi tak sekuat babak flashback di Wyoming Museum.

Ya, babak itu. Di mana Joel membawa Ellie ke muzium sempena hari jadinya. Air mata saya bertakung menonton babak itu.

Inilah kali terakhir kita nampak Ellie yang kita kenal dalam Last Of Us — periang, kelakar, nakal — sebelum dia berubah menjadi seorang yang dingin dan kejam dan murung. Nampak macam tak ada harapan untuk dia bahagia semula. Cerita Ellie berakhir di sini.

Macam Last Of Us pertama, kesannya memang dalam pada saya. Semalam saya bersembang selam dua jam bersama kawan saya via video call tentang game ini. Kami berkongsi bahagian mana yang buat kami menangis dan bahagian mana buat kami takut.

Bermain Last Of Us Part II adalah seperti balik kampung setelah lama meninggalkannya dan menyedari bahawa itu bukan lagi tempat kita.

Tapi kalau ada Last Of Part III, kena balik kampung la.

Originally published at https://hmnorwriting.wordpress.com on June 30, 2020.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet