Lolongan di Lorong — Orkestra Lorong (2019)

Orkestra Lorong di Festival Kolektif, Market Lane, Ipoh – 27/07/2019

Hadi M. Nor
3 min readJul 29, 2019
Poster dicuri daripada akaun IG Projek Rabak.

Lorong Market Lane, tempat instagrammable yang menjadi tarikan pelancong luar dan tempatan, tutup sekejap pada petang Sabtu untuk memberi ruang kepada Projek Rabak melakukan sebuah persembahan.

Susunan mikrofon dan music stand macam orkestra kecil– dua mikrofon dan music stand untuk dua orang pemuzik dan satu untuk konduktor. Bagi yang tak tau apa-apa, macam saya, nampak macam ada rakaman muzik video atau sesi jamming sebab mereka tidak menghadap penonton. Lagipun kat lorong kecil ni, penonton nak dok mana?

Tepat jam 6 petang, Jack Malik selaku emsi memperkenalkan penonton kepada kumpulan Orkestra Lorong.

Meor Hailree, vokalis, memakai dungari denim tanpa baju, kepala dililit kain merah. Hafiz Chai membawa saksofon. Dua-dua berdiri depan music stand dan mikrofon masing-masing, menunggu konduktor.

Mohd Jayzuan tampil memakai hypno glasses. Dia mengangkat dua kuntum bunga matahari ke atas seolah-olah memuja langit. Kemudian dia meletakkan bunga-bunga tu atas music stand di depannya. Itulah saat Mohd Jayzuan yang kita kenal – vokalis Free Love yang playful, fun, menyanyi lagu-lagu indie pop cintan – hilang digantikan dengan persona barunya iaitu Joni Mustaf.

Dengan keseriusan seorang konduktor simfoni, Joni Mustaf memberi kiu kepada pemuzik-pemuziknya. Bila diarahkan, Hafiz Chai meniup satu not, Meor Hailree memvokalkan not sama. Bunyi-bunyi depa silih berganti mengikut arahan Joni Mustaf. Bila konduktor mengarahkan mereka untuk main serentak, bunyi mereka bergema di lorong itu. Ini berlangsung selama beberapa minit sebagai adegan pertama.

Adegan kedua bermula dengan Meor Hailree mencabut mikrofon dari stand dan mula memvokalkan ritma sambil melompat-lompat, membongkok dan bergerak kiri ke kanan mengikut rentak. Hafiz Chai mula bermain melodi yang memukaukan, mengingatkan saya kepada saksofon dalam lagu ‘Blackstar’ oleh David Bowie. Joni Mustaf mula menjerit panjang dalam suara yang garau dan nyaring. Efeknya macam distortion gitar.

Orang ramai yang nak lalu dan mengambil gambar kat lorong tu mula berkerumun, terpegun dengan apa yang sedang berlaku. Di belakang saya seorang ibu merakam video dengan telefonnya dengan satu tangan, satu tangan lagi membelai-belai kepala anaknya yang memeluk kakinya dalam ketakutan. Kami yang dewasa pun keliru dengan apa sedang berlaku, apalagi dia.

Joni Mustaf mula berdeklamasi sajak. Saya cuma ingat baris terakhirnya: “Seniman menari merrr… Merrr…” Dan sangkut pada “merrr” beberapa lama, macam susah betul perkataan tu nak keluar. Akhirnya, dengan penuh bertenaga, dia menjerit, “Merrratap sunyiii!” Bingit. Bebas.

Kita tiba di kemuncak persembahan di mana Meor Hailree mengoyakkan kertas yang ada pada music stand dan mengunyahnya sementara Joni Mustaf angkat music stand dia dan menghentak lantai. Serpihan besi stand tersebut melayang, terkena saya sikit. Saya beransur dari situ, takut serpihan itu terbang dan mencalar cermin mata saya yang baru dibeli empat hari lepas.

Saya ingatkan dah habis tapi Joni Mustaf masih menghentak-hentak lantai dengan music stand tu. Dia bukan hentak untuk menandakan penamat persembahan. Dia nak hancurkan music stand tu.

Meor Hailree memulas-mulas punat pedal efek mengherotbenyotkan suara dia sambil meraung dan melolong dan menjerit tak sudah. Saksofon Hafiz Chai menghasilkan bunyi yang pecah-pecah dan kuat walaupun dia nampak yang paling sober dan terkawal antara mereka.

Mereka bebas daripada ikatan satu sama lain. Tenaga mereka ketika itu menakjubkan. Rasa macam sedang menyaksikan ritual pembersihan jiwa.

Lepas Joni Mustaf hancurkan music stand dia, dia melompat dan bergolek sekali bersama Meor Hailree, seolah-olah untuk menyedarkan Meor yang macam dirasuk.

Adegan ketiga tamat. Joni Mustaf senyap-senyap ke tepi dan menyorok di belakang bunting. Hafiz Chai meletakkan saksofon dan mencari rokok. Meor Hailree, dengan muka merah, duduk atas jalan melepaskan lelah. Jack Malik muncul untuk menutup sesi itu.

Para penonton (~20 orang) menepuk tangan. Ahli-ahli orkestra ini tidak tunduk mengucapkan terima kasih kepada penonton. Saya tak boleh bayangkan macam mana nak senyum dan tunduk dan melambai selepas memberi persembahan yang gila intense itu.

Serpihan music stand bersepah atas jalan. Tangan Mohd Jayzuan terluka tapi dia masih boleh senyum dan mesra dengan kawan-kawan. Persona serius dan marah itu hanya untuk persembahan. Sekarang Mohd Jayzuan boleh merawat lukanya itu sementara menunggu kemunculan kembali Joni Mustaf untuk datang dan meninggalkan luka baru.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet