Novel Suci

Hadi M. Nor
3 min readMar 26, 2022

--

Dalam emel saya kepada Fixi, saya usulkan manuskrip ini dengan pitch, “bayangkan kalau dunia hancur tapi yang tinggal hanya pengikut-pengikut Ayah Pin.”

Alhamdulillah, macam metamorfosis rama-rama, manuskrip itu terbit menjadi buku. Terima kasih kepada pihak FIXI kerana memberi peluang kepada saya untuk berkongsi cerita ganas yang dah lama berlegar-legar dalam kepala saya ini. Ini buku kelima saya dengan FIXI. Judul-judul sebelumnya termasuk novel FAMILY VALUES, (satu cerpen dalam) antologi KL NOIR WHITE, antologi HUNGRY IN IPOH, dan (satu cerpen dalam) antologi LOST IN PUTRAJAYA.

SUCI ialah bahagian pertama dalam trilogi tentang dunia yang telah hancur. Manusia hidup berpuak dan dunia penuh dengan makhluk-makhluk grotes berbahaya.

(Kalau anda pandai matematik, anda boleh meneka latar masa cerita ini dengan membaca SUCI.)

Bila hancurnya tamadun manusia, populasi yang tinggal akan membina semula adat, budaya, dan kepercayaan yang baru. Anda tak akan kenal budaya dan adat resam mereka. Anda akan mengalaminya seperti watak utama iaitu Adan — seorang remaja ibarat katak di bawah tempurung — yang terpaksa merentasi dunia penuh bahaya demi menyelamatkan kawannya.

INSPIRASI UNTUK SUCI

Inspirasi untuk novel ini datang dari banyak sumber terutamanya cerita yang berlatarkan distopia. Tapi di sini saya hanya akan senaraikan lapan. Saya berdiri di atas bahu gergasi-gergasi ini.

1. THE REAPERS ARE THE ANGELS oleh Alden Bell — Inspirasi paling utama. Kalau Cormac McCarthy tulis cerita zombi maka jadilah buku ini.

2. BORNE oleh Jeff Vandermeer — Saya suka cerita tentang makhluk yang pelik-pelik. Ini juga cerita tentang persahabatan yang sangat menyayat hati.

3. KRONIKA NASHAN oleh Ahmad Patria Abdullah — Buku-buku ini memberi semangat kepada saya untuk menulis.

4. THE MISTBORN SAGA oleh Brandon Sanderson — Saya akan banyak petik nama Brandon Sanderson bila borak pasal inspirasi, jadi bersedialah.

5. THE ELECTRIC STATE oleh Simon Stålenhag — Dunia pasca-apokalips yang digambarkan dalam buku ini menjadi sumber inspirasi. Begitu juga…

6. THE LAST OF US (Game) — Ceritanya bagus tapi filem Logan (2017) dah tiru jadi saya tiru dunianya saja.

7. DAY BY DAY ARMAGEDDON oleh J.L. Bourne — Cerita tentang survival.

8. CAGE OF SOULS oleh Adrian Tchaikovsky. — Buku ini inspirasi utama untuk satu bahagian SUCI. Tak boleh bagitau banyak sangat sebab nanti spoiler.

GENRE ADVENCER/FANTASI/DISTOPIA

Walaupun sebelum ini saya banyak menulis cerita komedi, ini bukan cerita kelakar. Kalau kelakar, ia tidak disengajakan.

Saya nak panjangkan cerita universe SUCI (suciverse?) sampai enam buku. Cadang nak menulis tentang era lain untuk trilogi kedua macam siri MISTBORN oleh Brandon Sanderson (Brandon Sanderson lagi. Heh).

Atau mungkin sampai tiga trilogi. Saya fikir, kalau nak tulis banyak macam tu, susah nak buat komedi. Dalam skrip TV saya yang 40 muka surat satu episod pun saya mengulangi lawak sama, bayangkan kalau 2000+ muka surat. Jadi lebih baik saya fokus pada cerita dan tema yang saya suka.

UNTUK PEMBACA MATANG

Tiada adegan lucah tapi banyak adegan ganas. Ketika menulis, saya banyak membaca splatterpunk. Tentulah ada pengaruhnya sikit-sikit sana-sini.

Dapatkan SUCI di:

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet