Dendam Pontianak (2019)
Hell hath no fury like a pontianak scorned.
Kalau lihat cerita dongeng, mitos, legenda Melayu dan juga Asia, kita akan nampak bahawa makhluk paling digeruni orang dulu-dulu ialah perempuan. Semua hantu famous mesti perempuan. Okey, Orang Minyak tu lelaki tapi saya pasti perempuan sekarang lebih takut dengan lelaki betul daripada Orang Minyak. Lagipun tak ada hantu yang lebih kelakar daripada Orang Minyak. Setiap kali dia nak kejar perempuan dia akan tergelincir sebab tapak kakinya berminyak. Nak takut apa pada hantu yang tertewas dengan lantai licin dan selekoh tajam?
Pontianak pula lain. Pontianak bunuh orang. Dia boleh terbang. Dia bertenggek atas dahan pokok. Dia wangi. Dia boleh jadi cantik. Dia feminis. Dan dia didorong oleh… dendam.
(Wow teruknya segue ni.)
Cerita ini mula dengan perkahwinan seorang bapa tunggal bernama Khalid (Remy Ishak) dengan Siti. Kemudian kampung itu didatangi satu kuasa (spoiler: pontianak) yang gelap dan ganas.
Sejam pertama filem ini amat melesukan. Kita diheret menyusuri liku-liku plotnya. Boleh nampak jelas gila yang filem ini mengikut rangka beats cerita tanpa menyempurnakannya. Contoh:
Ada sub-plot di mana anak Khalid, Nik, kononnya berkawan dengan makhluk halus (spoiler: dia lepak dengan pontianak tu). Tapi tak tunjuk pun benda ini daripada pandangan Khalid. Khalid tiba-tiba tau, “Siapa kawan Nik tu?!” Saya tau ia cuba buat macam filem-filem hantu lain, biasanya filem barat, di mana anak kecil berkawan dengan kawan imaginari yang rupa-rupanya ialah hantu. Tapi tak ada setup yang kemas.
Cara watak dan cerita ini berkembang sangatlah lemah dan tak meyakinkan sampai saya boleh kira berapa kali saya menguap (3 kali). Dan dialognya buat saya cringe sampai nak tenggelam ke dalam kerusi panggung.
Bila kita tiba di babak ketiga cerita ini di mana rahsia Khalid terbongkar dan terjawab siapa sebenarnya pontianak itu, barulah filem ini bertenaga. Dan ia menjadi saspens penuh aksi dan drama. Pontianak ini bukan macam pontianak filem-filem lain. Ia jauh lebih kuat dan ganas.
Ini mungkin pendapat yang tak masyhur (saya dah baca tweet-tweet anda) tapi bagi saya Fazura melakonkan watak Mina, iaitu si pontianak, dengan cemerlang. Terutamanya bila dia menampakkan kemanusiaan di sebalik wajah pontianak; matanya yang penuh kesedihan, senyumannya yang sayu, tangannya membelai dengan lembut walaupun berkuku panjang dan berbahaya.
Saya susah nak decide sama ada saya benci ke tak filem ini. Sebab saya rasa ending dia sangat baik. Menurut filem ini, bila seorang ibu tidak dikebumikan dengan cara yang betul, dia akan menjadi pontianak. Nasib baik filem ditutup dengan kemas. Tak adalah saya rasa nak berdendam (sangat).