Rasa Lepas Menonton Filem ‘Parasite’ Tiga Kali Dalam Masa 10 Hari

“Serius la?” anda tanya, macam tak percaya. “I’m dead-lry serious,” saya jawab.

Hadi M. Nor
5 min readSep 3, 2019

AMARAN: Ada spoiler. Untuk orang yang dah tengok filem ini saja. Ada beberapa plot point penting yang saya tak bincangkan. Saya assume pembaca dah tengok. Ini bukan ulasan filem. Bukan reviu dalam The New Yorker dan saya bukan Richard Brody.

Kali pertama menonton Parasite saya pergi sorang-sorang. Sebab saya pergi pada hari Khamis – hari bekerja. Bagi freelancers macam saya, hari tak ada deadline apa-apa adalah hari yang tak ada nama. Kawan-kawan yang saya ajak bagi alasan penat atau tak ada mood nak ikut. Dan saya tengok pun tayangan lewat malam. Saya tengok dua filem berturut-turut. Once Upon A Time… In Hollywood arahan Tarantino kemudian filem ni.

Susah betul nak jual filem ni kepada kawan-kawan. Macam-macam pitch saya guna dari, “Ini filem komedi yang kelakar,” kepada, “Filem ni menang Palme d’Or.” Pun ramai tak berminat. Plebians! Atau mungkin sebenarnya diaorang tak nak keluar dengan saya?

Huh.

Anyway. Saya tengok filem ini tiga kali. Dua kali di wayang, sekali di [***TEXT REDACTED***]. Saya tak rasa filem ini sebuah mahakarya. Best gila, tapi tak seperti yang dihebohkan para pengkritik dan para juri Festival Filem Cannes. Tak sampai hati pula nak cakap filem ini overrated. Sebab macam saya cakap – best gila.

Parasite bermula dengan keluarga Kim. Mereka miskin. Mereka tinggal di apartmen tingkat separa bawah tanah. Si anak lelaki, Ki-woo, dan adik perempuannya Ki-jung, cuba mencuri Wifi daripada jiran yang tinggal di tingkat atas. Mereka tak dapat sambungan internet. Si ibu, Chung-sook (yang tak bekerja) mengejutkan suaminya Ki-taek (juga tak bekerja) dari tidur dan bertanya, “What’s the plan?” Suami dia tak ada jawapan.

Kemudian datanglah seorang kawan Ki-woo. Kawan ini cikgu peribadi kepada seorang anak perempuan keluarga kaya bernama Park. Dia meminta Ki-woo untuk mengganti tempatnya sementara dia pergi belajar. Taktau apasal dia mempercayai Ki-woo ni. Dia meminta Ki-woo untuk berpura-pura jadi pengajar bertauliah dengan memalsukan dokumen dan sebagainya, macam yang dilakukan oleh beberapa selebriti Malaysia.

Ki-woo pula mendapat inspirasi untuk mengajak seluruh keluarganya menipu dan menganiaya keluarga kaya itu. Mereka mengeksploit gullibility Puan Park yang agak… bimbo? Di sini saya harus memuji lakonan Cho Yeo-jeung. Dia membawa watak perempuan muda kaya yang senang terpedaya dengan cemerlang sekali. Genuine dan kelakar tapi tak lebih-lebih. Bukan gaya parodi macam watak Bruce Lee dalam Once Upon A Time… In Hollywood.

Keluarga Kim menyamar. Ki-woo jadi cikgu bahasa Inggeris, Ki-jung jadi cikgu seni, ayahnya jadi pemandu, dan ibunya jadi pembantu rumah. Mereka menipu dan memfitnah dan memanipulasi sampai Puan Park memecat pekerja-pekerja sebelumnya yang baik-baik belaka dan mengambil keluarga Kim bekerja tanpa mengetahui yang mereka sebenarnya satu keluarga.

Kemudian benda ini berlaku, benda itu berlaku, dan akhir sekali empat orang mati. Malas nak tulis sinopsisnya. Kalau nak tau, pergilah tengok atau baca di Wikipedia.

Saya tak tau kenapa saya tergerak untuk menonton filem ini sampai tiga kali dalam masa sepuluh hari. Tak rasa ada apa-apa dalamnya yang saya belum jumpa. Segalanya terang lagi bersuluh. Itu kekuatannya – filem ini visceral dan juga cerebral pada tahap boleh diterima umum.

Mungkin kerana ada beberapa persamaan filem ini dengan salah satu filem kegemaran saya sepanjang hidup iaitu Shoplifters (2018) yang memenagi Palme d’Or tahun lepas. Dua-dua adalah filem tentang keluarga miskin, berunsur kekeluargaan, dan pembelotan. Shoplifters ialah filem bernafas klasik dari segi pengolahan, penulisan, dan nilai-nilai yang diketengahkan. Romantik dan manis. Di hujung spektrum yang sama pula Parasite – moden dan ganas. Kalau anda sensitif macam saya tentu anda akan lebih suka Shoplifters.

Watak-watak dalam Parasite bernyawa dan hidup. Bong Joon-ho berjaya menunjukkan semua sisi dan – if you wanna get serious about it – dimensi mereka. Malah watak yang tak pernah muncul dalam filem ni pun ada personaliti yang menonjol iaitu arkitek rumah mewah itu. Apa entah nama dia. Jap, nak Google.

Namgoong. Dia merahsiakan bilik bawah tanah itu daripada ejen hartanah. Mungkin dia ada merahsiakan sesuatu? Moon-gwang, si pembantu rumah itu, berkata tingkat bawah tanah itu mungkin tempat menyorok, “in case of an attack from North Korea or when creditors come by.” Namgoong juga merekomen Moon-gwang kepada keluarga Park. Kita tau dia ada rahsia. Kita tau dia ada hubungan baik dengan pembantu rumahnya.

Walaupun dia tak pernah muncul, dia seorang yang boleh direspek (“RESPECT!”) sebab rumah yang dia bina tu power. Kalau saya ada rumah semewah tu, saya akan menghabiskan masa senggang membaca buku di lamannya macam Ki-woo. Berendam dalam tab mandi sambil menonton TV macam Ki-jung. Atau berendam dalam tab mandi sambil menonton TV bersama Ki-jung.

Tapi, macam Geun-sae, saya juga rasa keluarga Kim tak reti mengapresiasi kesenian rumah itu. Keluarga Kim mencuri arak daripada simpanan keluarga Park dan minum sampai mabuk. Perbuatan yang hina. Geun-sae dan isterinya Moon-gwang pula lebih berbudaya. Mereka menikmati kepanasan matahari di ruang tamu sambil menari. Erti kemewahan berbeza bagi semua. Tapi yang pastinya semua seronok menikmati kemewahan.

Bukan kekayaan harta yang membahagiakan kita tetapi rasa kaya. Kita bahagia bila kita rasa selamat, senang, dan dihormati. Orang berharta dan terpengaruh saja dapat menikmati semua itu. Maka kekayaan dan kebahagiaan dikaitkan dengan harta dan wang dan populariti.

Keluarga Kim seronok buat jahat menganiaya keluarga Park. Mereka rasa seronok kerana berkuasa ke atas keluarga Park. Mereka rasa kaya. Saya rasa itu lebih membahagiakan walaupun dengan cara yang jahat. Rasa kaya jauh lebih bagus daripada menjadi kaya. Orang kaya pun susah nak rasa kaya.

Semuanya hancur disebabkan hujan ribut. Keluarga Park tak jadi pergi berkhemah dan terpaksa patah balik ke rumah menyebabkan keluarga Kim dan Moon-gwang dan Geun-sae kelam-kabut. Rumah keluarga Kim yang di tingkat separa bawah tanah dibanjiri air. Mereka terpaksa berpindah keluar. Tapi bagi keluarga Park, hujan ribut itu hanya satu benda yang menyusahkan. Malah, keesokan pagi, Puan Park bangun, tengok laman dan hari yang cerah, dia berkata, “Ah, that rain last night was a blessing.” Sementara itu, keluarga Kim, dan beberapa keluarga miskin lain, kehilangan tempat tinggal dan terpaksa bermalam di gimnasium.

Lepas scene hujan ribut yang MASTERPIECE dan YA ALLAH EPIC, filem ini jadi lemah. Babak ketigalah yang buat saya berat nak panggil filem ini mahakarya. Kejadian bunuh-membunuh di babak akhir tu bagi saya satu kesudahan yang terlalu senang dan collegiate untuk cerita pandai dan matang macam ni. Pelajar-pelajar jurusan filem mungkin akan kagum tapi saya tak. Saya susah nak menghayati kemarahan dan keganasan filem ini.

Entahlah. Mungkin ia kesudahan yang tak boleh dielakkan. Mungkin saya terlepas pandang sesuatu. Mungkin kena tengok lagi sekali — kali keempat.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet