16 Tahun Kemudian, Resident Evil 4 Masih Best Gila
Ulang main game yang saya tak sentuh sejak 14 tahun lalu dan, ya, ia masih gempak gila.
Saya suka mengulangi filem, fiksyen, muzik, dan sebagainya yang pernah menyentuh saya. Kadang-kadang kita akan jumpa benda-benda yang terlepas pandang. Kadang-kadang pengalaman hidup membuat kita tengok benda sama dengan mata yang baru. Kadang-kadang kita rasa, “ya Allah, teruknya benda ni, apasal aku suka?”
Resident Evil 4 ada secubit daripada semua benda yang telah saya sebut.
Setelah bermain selama 10 jam, saya boleh mengesahkan bahawa Resident Evil 4 masih game yang terbaik. Game ini boleh dibandingkan dan boleh menyaingi game-game baru kerana ia mendahului zamannya. Malah, watak utamanya pun menggayakan rambut macam salah seorang ahli BTS (saya tak pasti mana satu tapi saya pasti ada).
Macam kesan khas filem Jurassic Park yang lebih baik daripada kebanyakan filem zaman sekarang, game ini menjadi penanda aras dan standardnya tak tercapai kebanyakan game lain. Yang hebatnya tentang game ini ialah ia keluar 16 tahun lalu. Kalau ia seorang budak, tahun ini dia boleh mengambil lesen motosikal.
Saya tak pasti kalau ada perbezaan atau tak antara versi saya main ni (platform Windows yang keluar di Steam pada 28 Februari 2014) dengan PS2. Grafik dan visualnya rasa macam sama. Mungkin ada perubahan sikit dari segi tekstur, warna, dan sebagainya.
Sikit je. Tak perlu banyak pun. Dah memang cantik, macam mana nak cantikkan lagi?
Kawalan dan corak permainannya lain daripada yang lain; ia mengimbangkan aksi dan strategi dan kita dapat menikmati kedua-dua aspek dengan sama rata.
Kelemahannya pula pada cerita dan dialog dan lakonan suara. Lebih-lebih. Campy. Tahap filem gred B. Adakah ini ciri-ciri yang lemah? Ya, tentu sekali. Tapi saya suka. Saya rasa campiness game ini salah satu perkara yang buat game ini charming.
Saya ketawa bila nama penuh watak utama disebut — “Leon Kennedy”. Game ni dibikin di Jepun untuk pasaran dunia. Dan dunia, ketika itu, bermakna Amerika. Developers Jepun cuba menyuntik elemen Amerika secara lebih-lebih sampai jadi macam parodi.
Saya terbayang sekumpulan pekerja kreatif di studio Capcom memerah otak memikirkan nama hero mereka. Dan akhirnya mereka pilih nama yang semua orang Amerika kenal iaitu nama salah satu presiden paling popular.
Bayangkan kalau mereka nak buat game untuk pasaran Malaysia, mereka namakan watak utama dengan nama yang semua orang Malaysia tau iaitu, “Mahathir”.
Satu lagi nama yang kelakar dalam dunia Resident Evil — Raccoon City. Raccoon City menjadi latar utama dalam game-game Resident Evil. Kalau tak ada pun, ada disebut oleh salah satu watak. Malangnya, bandar bandar fiksyen yang ada nama cringey ni penting dalam dunia Resident Evil.
Semua perkara kelakar ni saya sedar setelah progres saya dalam game dah jauh. Secara jujurnya, masa saya mula main beberapa hari lepas, saya terlalu overwhelmed untuk ketawa.
Saya rasa macam bertemu kembali dengan kawan lama saat bertembung dengan zombi pertama. Leon masuk secara melulu ke dalam rumah seorang petani zombi dan terkejut ketika zombi itu cuba membunuhnya. Di sinilah kita dapat lihat semangat Amerika Leon — dia ceroboh tempat orang lepas tu terkejut bila orang tu marah.
Nak biasakan diri dengan kawalan game ni memang memerlukan masa. Walaupun saya pernah main game ini dulu mungkin 14 tahun lalu, masih kena belajar dan biasakan diri semula. Rasa macam saya terpaksa belajar memandu kereta manual semula.
Kali kedua saya rasa girang adalah bila bertemu dengan Merchant yang selalu ketawa tak tentu pasal. “Welcome,” sapanya setiap kali dia menyingkap jaket untuk menjual barang kepada kita. Dalam loghat Inggeris (?) dan lakonan teruk sekali, dia mempelawa kita, “What are you buying?” atau “What are you selling?” Dia bercakap macam antagonis dalam kartun. Pelakon ekstra dalam Pirates of the Caribbean jauh lebih subtle.
Dengan benda-benda yang membuat saya suka game ini, ada juga yang saya benci. Tertangguk pada ikan dikeruntungkan, tertangguk pada ular dikeruntungkan juga. Baik atau buruk, saya tetap terima dengan tangan terbuka.
Sudah tentunya saya bercakap tentang Ashley, teman dalam game yang terkenal dengan perangainya yang menjengkelkan. Dia juga misi utama kita. Dialah sebab game ini wujud. Ya, dari awal lagi, dia sudah menyusahkan orang.
Memang dia manusia paling tak berguna dalam dunia. Saya faham, dia memang wujud untuk menyusahkan kita. Jadi dia kenalah lemah supaya susah untuk kita menjaganya.
Kalau ada remaster (atau remake?) game ini, saya harap mereka beri pilihan kepada pemain untuk menggantikan Ashley dengan kayu papan. Mesti lagi senang. Maaf kerana mengobjekkan watak perempuan tapi ini pandangan jujur.
Ada satu lagi game yang saya beli atas nilai nostalgia iaitu Destroy All Humans! Saya masih meletakkannya dalam all-time Top 10. Paling saya suka ialah aestitik sci-fi pulp.
Saya main setengah jalan saja. Dah jemu. Entah kenapa, daya tarikannya hilang. Lawak-lawaknya tak begitu kelakar. Game tu okey, tak teruk. Cuma saya dah tak minat lagi dah.
Resident Evil yang pertama pun saya baru beli. Saya tak pernah main yang ni. Dulu, masa kecil, saya tengk saudara saya main je. Dia tak pernah bagi saya cuba sebab menurutnya, itu “game orang besar” walaupun dia pun baru tingkatan 1 masa itu.
Saya tak berminat untuk main Resident Evil 7. Saya tau game itu bagus. Ramai orang suka. Tapi saya kecewa siri ikonik ini tak mengekalkan 3rd person POV, tak ada rasa filem gred B.
Memang tak patut mereka buat begitu sebab Resident Evil tak perlukan realisme. Langsung. Resident Evil ada lesen untuk menjadi bodoh sebodoh-bodohnya. Kenapa perlu mengikut trend?
Saya bukannya benci. Malah, saya pun tak sabar juga menanti Resident Evil 8 yang sejak kebelakangan ini menjadi tular kerana tarikh keluarnya makin hampir.
Malangnya, bukan itu saja sebab ia tular. Sebab utamanya ialah watak jahat dalam game itu — Lady Dimitrescu.
Lady Dimitrescu, seorang wanita vampire setinggi 10 kaki, dah masuk dalam mimpi-mimpi gamers gasang walaupun game tu belum keluar lagi. Dengan klip beberapa saat, dia sudah menjadi kegilaan dweebs.
Begitulah kuasa siri Resident Evil; setiap keluaran di bawah jenama itu pasti akan laku termasuklah siri filemnya yang saya tak faham macam mana boleh pecah panggung. Saya cuma harap dalam dunia yang memuja Lady Dimitrescu, masih ada ruang untuk Merchant.