‘Spring-Heeled Jack’ Satu-Satunya Benda Saya Suka Dalam Assassin’s Creed Syndicate

Tak boleh vibe dengan Assassin’s Creed walaupun ‘Assassin’s Creed IV: Black Flag’ salah satu game kegemaran saya.

Hadi M. Nor
3 min readMar 20, 2023

Pengenalan saya kepada dunia Assassin’s Creed ialah AC 4: Black Flag iaitu game terbaik dalam siri itu (dan juga salah satu game kegemaran saya). Lepas tu, saya main AC Syndicate pula tapi tak habis.

Mana taknya. Rasa macam downgrade. Dalam AC 4: Black Flag kita bermain sebagai kapten lanun di kepulauan Carribean. Boleh kemudi kapal, boleh belayar dari pulau ke pulau, boleh parkour dalam hutan — Oh, AC 4: Black Flag dengan senangnya boleh mengaramkan judul-judul lain.

AC Syndicate pula bukanlah mengecewakan. Tidak sama sekali. Gameplay okey. Dunianya yang berlatarkan London tahun 1868 juga menarik. Seronok memang seronok. Cuma… menjemukan.

Tapi ada satu side mission yang saya sangat suka. Side mission ini melibatkan siasatan. Ia membawa kita ke ceruk kota London yang gothik dan mengerikan untuk menjejak satu makhluk ganas yang menyerang golongan perempuan B40. Namanya… “Spring-Heeled Jack.

Saya tertarik dengan a̶s̶s̶ ̶t̶e̶t̶e̶k̶ estetiknya dalam AC Syndicate. Bertanduk, bermata api, berkuku besi, boleh melompat tinggi dan menghembus api. Macam setan (ini pujian, bukan pejoratif).

Legenda, tokoh, dan peristiwa dalam semua game Assassin’s Creed direka berdasarkan fakta. Teknologi zaman yang menjadi latar game-game itu pun kebanyakannya faktual macam diving bell dalam AC 4: Black Flag, sebuah kebuk udara untuk membekalkan oksigen kepada penyelam laut pada kurun ke-18.

Spring-Heeled Jack ni juga ada dalam rekod sejarah. Saya baru beli buku The Mystery of Spring-Heeled Jack oleh John Matthews. Buku ni mengumpulkan surat dan laporan tentang Spring-Heeled Jack.

Ia bukanlah bestseller atau bahan rujukan akademik (penulis dia seorang bomoh tapi tak cool macam Alan Moore jadi kredibilitinya diragui). Susah nak cari buku ni. Saya rasa macam watak dalam novel Bolano pula kena mencari buku obscure. Cuma saya tak jumpa di kedai buku kecil di Itali. Saya jumpa di Google Play Books.

Apa cerita di sebalik legenda ini? Kita ke London, tahun 1838…

Mangsanya yang paling paling popular ialah seorang remaja perempuan bernama Jane Alsop.

Kejadian berlaku di rumahnya sendiri. Di tengah malam, tiba-tiba ada orang mengetuk pintunya. Seorang polis. Katanya Spring-Heeled Jack ditangkap di lorong sebelah rumah tu dan mereka perlukan lampu.

Terus Jane mengambil lilin, bersemangat untuk tolong. Tapi, bila pintu dibuka, bukan polis yang menantinya tapi Spring-Heeled Jack sendiri.

Makhluk itu terus menyerang Jane. Mencakar-cakarnya dengan kuku besi. Sampai terluka leher dan dadanya. Sampai terkoyak bajunya.

Serangan itu berterusan walaupun Jane lari ke dalam rumah. Spring-Heeled Jack hanya berhenti bila salah seorang adik beradik Jane datang. Terus Spring-Heeled Jack menghilangkan diri.

Lord Mayor of London, John Cowan, mengadakan persidangan awam tentang hal ini untuk meredakan panik orang ramai. Dia berkongsi surat-surat yang diterimanya. Salah satu surat yang dibacanya memberi teori bahawa serangan ini semua dilakukan oleh sekumpulan orang kaya sebagai prank kepada golongan miskin.

Saya tak tahu macam mana si pengadu membuat kesimpulan ini. Mungkin dia nak menanam semangat anti-aristokrat ke dalam hati warga London. Apa-apa pun, ini teori yang paling saya percaya sebab: 1) Zaman tu mana ada internet. Bila bosan, boleh buat apa lagi selain mengusik orang? 2) Orang kaya memang zalim.

Dalam AC Syndicate, kita menjejak makhluk yang melompat-lompat itu sampai ke sebuah banglo di mana terbongkarlah rahsia bahawa dalang di sebalik Spring-Heeled Jack ini ialah golongan bangsawan.

Lepas tu kita bunuh semua orang kat situ.

Tamat saja side mission itu, saya sambung main beberapa jam lagi sebelum menyimpulkan bahawa AC Syndicate bukan untuk saya.

Saya cuba lagi dengan AC Origins pula. Saya main tiga jam saja.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet