Tenaga Solar Yang Dingin – Solar Power, Lorde

Konsep ada. Idea ada. Semangat tak ada.

Hadi M. Nor
3 min readAug 30, 2021

Kekecewaan bukan perkara asing bagi saya sebagai orang Malaysia dan penyokong Arsenal. Dan gunung kekecewaan saya bertambah lebih tinggi pula baru-baru ini dengan album terbaru Lorde, ‘Solar Power’.

Dua album pertamanya iaitu Pure Heroine dan Melodrama adalah 10/10. Sempurna. Menarik, berani, catchy, membangkitkan emosi yang dalam. Selepas Pure Heroine, muncul ramai penyanyi perempuan yang cuba menirunya (*cough Billie Eilish *cough). Melodrama pula membuktikan yang dia takkan boleh ditiru sebab dia mampu berubah dan memajukan diri dari segi kreativiti dan identiti.

Sejak tahun 2019 kita mendapat khabar yang Lorde akan tampil dengan album ketiga. Akhirnya, 20 Ogos 2021, Solar Power keluar. Dan hasilnya hambar.

Lorde tampil dengan imej baru. Kita biasa tengok dia dark, gloomy, macam orang yang hanya keluar waktu malam. Seolah-olah dia akan terbakar menjadi abu kalau terkena cahaya matahari.

Kini, dia dah berubah. Dalam video muzik lagu ‘Solar Power’ dia menari dengan sekumpulan orang yang nampak macam pelakon-pelakon ekstra filem Midsommar. Lorde menampakkan sisinya yang lebih seksi, bersemangat, dan ceria. Kulit albumnya pun menjanjikan pengalaman yang menyeronokkan dan carefree. Dia kini bebas dan nak bawa kita ikut sama. Malangnya, buntut pada kulit album lebih mantap daripada lagu-lagunya.

Album ini bukannya lemah sebab Lorde menyimpang daripada imejnya. Konsep ada. Idea ada. Yang tak ada, semangat dan kreativiti. Gubahan muzik dan lirik malas. Gagal untuk membangkitkan apa-apa emosi. Sampai saya pun rasa malas. Nak cari sinonim untuk ‘malas’ pun malas.

Saya rasa macam pernah dengar lagu-lagunya sebelum ini. Pertama kali dengar pun dah rasa bosan. Muziknya tak menarik dan kosong. Kalau dengar betul-betul, macam lagu-lagu awal 2000-an yang tak sedap.

Lirik lagu-lagunya pun sangat sederhana. Atau mungkin kerana muziknya tak menarik, maka saya tak peduli pun dia nak menyanyi pasal apa. Kalau dia tak menyanyi pun tak apa. Tapi kalau album ini instrumental, nak dijadikan muzak dalam lif pun tak layak.

Susah untuk saya menulis tentang lagu-lagunya sebab semuanya lebih kurang. Jadi saya mula dengan lagu paling saya benci iaitu Secrets From A Girl (Who’s Seen It All). Lagu ini macam ditulis orang yang lebih tua tapi tak matang. Kalau anda bagitau saya lagu ini ditulis dan dibuang oleh Taylor Swift masa dia 17 tahun, saya percaya. Menurut Lorde, lagu ni adalah untuk menjawab lagu Ribs, sebuah masterpiece daripada Pure Heroine. Malah, dia menggunakan dua not yang sama daripada Ribs dan menterbalikkan susunannya. Kalau ini adalah lawan kepada Ribs, dia bukan saja berjaya melawan semangat lagu itu, tapi juga kualitinya. Sepanjang lagu, kita rasa bosan dan ia tamat dengan cara sangat mengelirukan. Ada suara dari PA system yang cakap, “Welcome to sadness,” sekian, sekian, sekian. Macam coup de grace yang tersasar.

Lagu terbaik bagi saya ialah The Man with the Axe. Saya rasa ini lagu yang okey tapi tenggelam sebab ia dimuatkan ke dalam album ini.

Lagi satu lagu yang okey ialah lagu penutup album ini, Oceanic Feeling. Ia berjaya menggambarkan konsep yang selama ini susah betul dia nak jelaskan:

Now the cherry black lipstick’s gathering dust in a drawer / I don’t need her anymore / ’Cause I got this power

Power apa? Tak ada siapa tau. Mungkin dia pun tak tau. Dan:

Oh, has enlightenment found? / No, but I’m trying taking it one year at a time

Lorde tengah mencari dirinya. Mungkin ada krisis eksistensial. Tapi melihat betapa malasnya dia dalam menggubah lagu-lagu album ini, kita nampak yang dia tak mengambil serius hal krisis itu. Jadi, buat apa kita nak peduli?

Apa-apa hal, Lorde tetap di hati. ❤️

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet