Terperangkap Dengan Pedo Dalam Trafik Sesak Bali

Dua jam setengah paling lama dalam hidup saya.

Hadi M. Nor
7 min readAug 14, 2024

Saya sebenarnya tak suka dan tak pernah berminat pun untuk melancong ke luar negara secara solo.

Merancang tempat tinggal, itinerary, pengangkutan, makanan, dsb. menyedut tenaga dan duit. Saya malas nak hadap semua tu melainkan kalau terpaksa.

Tapi saya dah daftar dan bayar yuran untuk Maybank Marathon Bali 2023 kategori separuh maraton. Nak tak nak, kena pergi.

Sejak saya jatuh cinta kepada sukan berlari, saya memang teringin nak lari di luar negara. Saya pilih Bali sebab saya kira ini pilihan paling selamat – tak jauh, tempatnya cantik, dan acaranya masyhur (diiktiraf sebagai ‘Elite Label’ oleh World’s Athletics – kalau anda hebat, boleh guna rekodnya untuk layak ke Boston Marathon).

Lagipun, kalau saya berjaya pulang dengan medal, saya ada bragging rights.

Malangnya, tulisan ini bukan untuk brag. Saya dah puas brag di Instagram setahun lepas. Siap ambil gambar dengan medal dsb. Tulisan ini untuk memperingati pengalaman ngeri semasa di Bali supaya saya tak mengulanginya.

Saya tiba di Bali dengan hati berbaur perasaan. Teruja, sebab saya berada di tempat baru. Gementar, sebab saya berada di tempat baru.

Di pintu keluar ada ramai promoter teksi. Saya tahu tambang mereka mahal. Nak cari yang murah, kena tanya semua dan banding harga dan tawar-menawar dan… saya tak nak buat semua tu. Saya nak makan. Kita takkan boleh berfikir dengan rasional kalau perut kosong. Jadi, saya keluar untuk cari kedai makan dulu.

Luar lapangan terbang itu ada perhentian bas dan teksi saja. Tak jumpa kedai makan. Jadi saya nak masuk balik tapi dua orang lelaki menghalang laluan saya.

Satu: muda, sama tinggi dengan saya, lengan penuh tatu, rambut pacak-pacak. Lagi satu: lebih tua, bertopi, pendek, buncit.

Mereka tanya, Dari mana?

Malaysia, saya jawab.

Mereka tanya lagi, Nak pergi mana?

Gianyar, saya jawab.

Yang muda, Lengan Bertatu, itu menawarkan servis teksi. Katanya harga mereka jauh lebih murah daripada teksi kat dalam.

Saya percaya. Jadi saya cakap, Bolehlah. Kami berunding harga. Akhirnya dapat: 700 ribu Rupiah.

Mereka bawa saya ke tempat letak kereta. Siap tolong angkat beg lagi. Lengan Bertatu tanya, Datang Bali untuk berlibur?

Saya jawab, Tak, untuk maraton (Saya tak pernah mensia-siakan peluang untuk brag pasal maraton itu).

Supirnya – iaitu lelaki lebih tua pendek itu – memperkenalkan diri: Namanya Ketud. Dia suka Upin & Ipin.

Dia siap menanggalkan topi untuk tunjuk kepalanya yang botak licin. “Macam Ipin,” katanya. Tapi watak kegemarannya ialah Kak Ros.

Ini bukan red flag. Kak Ros memang a snack. Cumanya, Ketud berkata yang dia tengok Upin & Ipin seorang diri. Bukan dengan anak-anak.

Ini baru red flag pertama.

Kami bertiga mencari keretanya. Red flag kedua: Mereka sendiri tak tau keretanya mana.

Kami pergi ke setiap tingkat. Saya dahlah penat, kena layan pula ketidakcekapan dua ekor ni. Terpaksa ikut mereka naik-turun lif dan berjalan dalam lot.

Akhirnya jumpa. Kereta untuk 6 orang penumpang. Nampak legit. Ketika itu, saya dengan bodohnya fikir, mungkin di Bali memang ini cara mereka. Bukan macam di Malaysia di mana teksi beratur di luar.

Lengan Bertatu tak ikut kami. Dia tak berkata apa-apa kepada saya lepas dah sampai kereta. Dia pergi macam tu saja meninggalkan saya dengan Ketud.

Red flag ketiga: Ketud suruh saya duduk depan. Kononnya untuk bersembang. Saya akur walaupun saya sangat penat masa tu dan tak rasa macam nak berborak.

Masa tu, saya baru sedar kenapa dia suruh saya duduk depan. Sebabnya dia menjalankan khidmat pengangkutan tak berlesen. Kalau saya duduk di belakang, nampak sangat saya seorang pelanggan maka polis pasti akan menahannya.

Bila duduk di depan, saya bukan saja menggali kubur sendiri malah menolong pembunuh saya mengasah pisaunya.

Tapi dah terlambat. Kami dah sampai kereta dan saya dah duduk dan sudah memakai tali pinggang keledar.

Keluar saja bangunan medan kereta, kami terus sangkut dalam sesak. Malam itu, kesesakan trafik berada di tahap epik.

Sepatutnya perjalanan ke hotel saya mengambil masa sejam lebih. Malam itu, dua jam setengah. Macam KL-Ipoh.

Rupanya Jokowi datang ke Bali untuk berkempen. Ada pilihanraya pada hujung tahun.

Kami ada lalu satu kampung di mana polis suruh berhenti di tepi untuk beri laluan. Lebih kurang 12 kereta lalu membawa seorang VIP. Saya rasa itu Jokowi atau mungkin salah satu menterinya.

Red flag keempat: Ketud asyik merungut tentang kesesakan trafik. Dia membuat begini supaya saya rasa kesian kepadanya dan membayarnya lebih.

Dia kata 700 ribu Rupiah tak cukup untuk tambang malam ni. Sepatutnya lebih. Namun, inilah jumlah yang telah dipersetujui jadi saya tak melayan rungutannya.

Saya diam dan tengok luar.

Red flag kelima: Ketud tanya sama ada saya guna WeChat. Saya menjawab, Tak, tapi WeChat dulu ramai orang guna di Malaysia.

Saya ingatkan dia nak berbual tentang perbezaan dan persamaan Malaysia dan Indonesia. Rupanya tak.

Dia cakap dia suka WeChat. Boleh chat dengan perempuan. Dan, yang paling dia suka, dengan budak perempuan 12 tahun.

Dia terbahak-bahak.

Otak saya yang lembab mula mencantumkan sedozen sel otak yang tinggal untuk memahami situasi kini: Saya telah masuk ke dalam kereta seorang penjenayah. Ketika itu, saya mula merisaukan nyawa saya.

Dalam hati saya, saya pasti, saya akan mati atau diculik di sini.

Walaupun trafik sesak, polis bersepah – itu tak semestinya saya selamat.

Dalam buku American Predator – sebuah true crime oleh Maureen Callahan tentang pembunuh berantai bernama Israel Keyes – ada sebut tentang cara dia menyenyapkan mangsa. Dia akan memandu mangsa di tempat-tempat awam dan yang ada ramai orang untuk memberi false sense of security. Mangsa akan fikir, “Aku di tempat terbuka. Tentulah aku selamat,” sebelum dibunuh dengan kejamnya.

Kehadiran Jokowi malam itu memberi false sense of security.

Fantasi Ketud tentang budak 12 tahun sangatlah jijik. Saya terpaksa mendengar dalam diam sebab saya takut.

Dalam takut pun saya tetap boleh berfikiran positif: kalau saya dirompak dan dibunuh, saya tak perlu mengejar deadline kerja lagi dah.

Tapi takkanlah nak mati di tangan seorang pedofil? Dahlah namanya Ketud. Pendek. Botak pula tu. Saya harus buat sesuatu.

Saya mengeluarkan telefon lalu meninggalkan mesej suara kepada teman wanita saya (yang ketika itu baru kenal): “Dah dekat dengan hotel. Makan apa?”

Ketud tanya, Siapa tu?

Saya cakap, Kawan di hotel. Dia tengah tunggu saya. Kami nak pergi makan.

Dia tanya, Berapa orang?

Saya fikir sekejap kemudian menjawab, Dua orang.

Ketud ketawa. Mungkin dia tau saya menipu. Lakonan saya tak meyakinkan.

Ketika itu saya menyesali keputusan saya pergi melancong secara solo. Kalaulah ada kawan, pasti mereka akan menasihati saya awal-awal lagi, “Bro, mungkin kita tak patut percaya orang dewasa yang tengok Upin & Ipin.”

Saya makin risau dan mula berkira-kira untuk keluar dan berlari. Malangnya, kami dah masuk jalan kampung yang sunyi. Nak lari ke mana? Lagipun bagasi saya di dalam but kereta.

Betulkah jalan yang Ketud ambil ni?

Saya mengurangkan volume phone saya sampai kosong sebelum membuka Waze. Saya tak nak Ketud sedar yang saya mahu tengok jalannya – takut dia marah ke apa. Saya memiringkan phone supaya dia tak nampak skrin.

Tapi dia dengar. Waze bersuara dengan kuat sekali, “Let’s take…”

Panik. Kucar-kacir saya memerlahankan suara phone. Iphone ada dua volume: satu “ringer” iaitu untuk nada dering. Lagi satu volume biasa, untuk muzik, app, video, dsb.

Rupanya Waze mengikut volume “ringer” dan yang saya senyapkan itu adalah volume biasa. Kantoi.

Ketud menjamah bahu saya. Saya tersentak.

Dengan lembut dia cakap: Jangan risau. Jangan takut. Kita akan sampai.

Dia tekan perkataan “akan” tu.

Dalam filem atau TV, bila watak jahat cakap, “Jangan risau,” penonton akan menjadi lebih risau. Walaupun ayat itu klise, kita sebagai penonton tetap menduga sesuatu yang buruk akan berlaku jadi penonton bertambah cuak.

Di realiti, kesannya sama. Saya makin cuak.

Ketud tau saya tak mempercayainya. Dia tau saya takut. Dia tau saya menipu tentang kawan-kawan saya.

Red flag keenam ialah red flag yang mengurangkan panik saya:

Sepanjang perjalanan, Ketud asyik tanya kalau saya berminat nak tidur dengan gadis Bali (cuma dia tidak memanggil mereka “gadis” dan tidak menggunakan perkataan “tidur”).

Saya menolak dengan cara saya – ketawa kecil kemudian diam dan biar perbualan itu lesap di udara macam wap manis vape.

Ketud enggan mengalah.

Dia tanya bukan sekali. Bukan dua kali. Bukan tiga kali.

Tetapi empat kali.

Tambah satu — Lima kali.

Dia suruh saya mengambil nombor telefonnya kalau-kalau saya ubah fikiran. Saya tak nak buat dia marah. Jadi saya ikut saja. Saya ambil nombor telefon dia.

Dia suruh saya hantar mesej melalui Whatsapp. Saya buat. Sekarang dia ada nombor saya. Rasa kotor betul bila teringat yang Ketud ada nombor saya. Rasa macam nama saya tersenarai sebagai penumpang kapal terbang Epstein.

Katanya dia cuma nak tolong saya (Ketud, bukan Epstein). Lepas lari maraton, kan lebih sedap kalau diurut cewek dalam bilik hotel?

OK. Tak dinafikan bahawa logiknya agak kuat di situ.

Ini red flag yang menenangkan saya sebab saya tau dia takkan membunuh atau menculik saya. Dia bukannya nampak saya sebagai target tetapi target market.

Akhirnya, kami tiba di hotel. Lepas dua jam dalam kesesakan trafik dan lebih kurang 30 minit jalan dalam kampung, pintu pagar hotel itu ibarat cahaya di hujung terowong. Saya turun kereta. Lega betul bila disambut oleh pekerja hotel. Rasa macam nak peluk.

Sambil pekerja hotel itu mengucapkan selamat datang kepada saya dan mengambil beg saya, Ketud pergi membuang air kecil di dalam longkang depan hotel. Red flag ketujuh. Tapi ketika itu saya dah tak peduli tentang red flag.

Katanya, memang biasa di Bali orang buat macam tu namun saya nampak dia seorang saja buat macam tu.

Saya mengucapkan terima kasih atas perkhidmatannya walaupun sebenarnya saya berterima kasih kerana tidak membunuh saya.

Saya daftar di front desk. Masuk bilik. Mandi. Telefon mak saya. Makan. Kemudian saya tidur.

Selain supir pedofil itu, ada beberapa lagi insiden yang menimpa – gempa bumi magnitud 7 skala Richter, phone rosak, kena kacau anjing garang, dll.

Tapi jawapan saya bila ditanya, “Amacam Bali?” tetap, “best gila,” sebab keindahan Bali buat saya lupa yang buruk-buruk. Bukan tempatnya saja yang indah tapi juga orangnya.

Orang Bali kebanyakannya mesra dan ringan tangan untuk menolong. Keramahan mereka membayangi “Malaysian hospitality” kita yang sebenarnya hanya untuk pelancong berkulit cerah.

Yang menghantar saya ke garisan permulaan pada pukul 3 pagi ialah pekerja dapur hotel yang membawa motosikalnya sendiri. Di festival mengambil race kit, ramai orang menegur dan bersembang dengan saya. Lepas habis separuh maraton, saya berjalan ke restoran piza dan pemiliknya sendiri menghantar saya pulang ke hotel menaiki motosikalnya secara gratis. Baik-baik belaka.

Saya hampir lupa tentang Ketud sampailah saya terjumpa nota dalam iPad yang ditulis pada malam itu.

Pengalaman dengan Ketud itu telah mengajar saya sesuatu dan kini saya turunkan mutiara itu kepada anda. Ingat: Makan dulu untuk mengelak daripada membuat pilihan yang kurang bijak.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet