“The Loveliest Lies of All” — Over the Garden Wall (2014)
Jarum halus Camusian untuk kanak-kanak.
Dalam satu episod Adventure Time yang saya tengok, mesej atau kesimpulan ceritanya ialah, “Berhati-hati bila menolong orang, nanti orang akan ambil kesempatan.” Peringatan yang okey (kot?) untuk dewasa tapi agak cynical untuk kanak-kanak. Dan juga sofistikated. Macam mana budak 9 tahun yang tak reti menganggar kelajuan dan jarak kenderaan bergerak nak menilai perwatakan orang?!
Over the Garden Wall ada elemen-elemen matang seperti absurdisme yang mesra kanak-kanak. Jarum halus Camusian. Ia ada 10 episod dan setiap episod 10 minit. Kalau anda binge, masanya bersamaan dengan filem biasa atau separuh filem Martin Scorsese.
Siri mini ini direkomen kepada saya oleh Jack Malik, seorang pemuisi. Bila seorang pemuisi merekomen kartun kepada anda, anda kena tengok. Kalau Abdul Ghafar Ibrahim merekomen Naruto kepada anda, anda kena tengok Naruto.
Over the Garden Wall mengisahkan dua orang adik-beradik iaitu Wirt (Elijah Wood) dan Greg (Collin Dean) mengembara di alam fantastik bersama seekor burung bernama Beatrice (Melanie Lynskey) dan seekor katak yang tak ada nama tetap kerana tuannya, Greg, asyik tukar fikiran. Wirt ialah abang yang pengecut, senang cemas, dan penggugup. Dia memakai topi merah berbentuk kon macam seorang gnome. Greg pula adik yang goofy, kurang cerdik, periang, dan memakai cerek atas kepalanya macam topi. Beatrice pula burung yang boleh bercakap yang nak tolong depa cari jalan keluar.
Dalam mencari jalan pulang, depa berjumpa dan membantu penghuni-penghuni alam aneh ini – termasuklah seorang pembalak yang membawa roh anaknya dalam lampu minyak, orang kaya yang tinggal dalam rumah berhantu, perempuan kanibal, dan macam-macam lagi. Pada masa yang sama, mereka diekori syaitan yang nak mengambil roh mereka.
Watak-watak dalam dunia ini agak anakronistik. Walaupun berpakaian dan hidup macam orang zaman dulu, gaya percakapan depa moden dari segi loghat dan alunan suara. Saya suka gila. Dialog dan percakapan mereka santai walaupun cerita ini berlatarkan dunia gothik dan mengerikan. Tempat yang mereka pergi pun menyeramkan macam hutan gelap, kampung rahsia, dan rumah terbiar. Right up my alley.
Warna dan lukisannya menimbulkan perasaan nostalgia. Gayanya pun macam kartun lama yang disiarkan di Cartoon Network pada waktu malam dulu. Malah, ada satu episod di mana cerita ini go full-on Cuphead dan gaya animasinya seperti kartun klasik era 1940an lengkap dengan iris shot, piano vaudeville, dan tarian.
Saya paling suka Episod 9. Kita kembali ke masa lampau. Masa Wirt dan Greg masih di dunia nyata. Di episod ini barulah terjawab macam mana depa boleh tersesat ke alam The Unknown itu dan kenapa Wirt memakai pakaian gnome dan Greg memakai cerek atas kepalanya. Dan kita akhirnya tau apa yang Wirt lalui dan apa yang menantinya di dunia nyata. Ini adalah episod kegemaran saya. Comel, kelakar, menyedihkan. Setup yang baik untuk episod ke-10 dan terakhir di mana kemachoan anda akan diuji.
SPOILER: Walaupun Over the Garden Wall berikan kita penamat yang menggembirakan, buat kita tersenyum, memancarkan sinar ke dalam diri kita yang gelap ya amat ini, ia juga diakhiri dengan lagu yang dinyanyikan oleh narator untuk menerangkan kepada kita apa erti sebenar pengembaraan Wirt dan Greg dan alam The Unknown ini. Semua ini adalah penipuan/rekaan, tapi penipuan/rekaan yang indah. “The loveliest lies of all.”