Tragedi Malenia — Elden Ring (2022)
Bos Elden Ring yang menjadi igauan para pemain, mimpi indah bagi saya.
Kalau anda tak tau apa-apa tentang video game mahakarya berjudul Elden Ring, anggap saja tulisan ini tentang crush saya.
Bayangkan kita sedang duduk minum kopi. Saya bercerita tentang seorang perempuan ni. Nama dia Malenia. Anda tanya, “Tu bukan bini Donald Trump ke?” Saya jawab, “Tak. Tu Melania. Anyway…”
Malenia adalah salah satu bos paling susah dalam sejarah game hasil From Software, syarikat yang terkenal dengan menghasil game-game susah.
Saya semestinya sudah maklum tentang dia dan reputasinya sebelum saya berjumpa dengannya. Bersepah video dan meme di internet tentang bos berstatus legenda ini.
Saat pertama kita berjumpa dengan dia, dia tersandar di atas takhtanya. Kepalanya terlentok, mata tertutup, seolah-olah sedang meratap hiba. Tak pasti sama ada dia hidup lagi ke tak. Tangannya kudung. Dia nampak lemah.
Dan bila dia sedar akan kehadiran kita, dia bangun, lalu memasang tangan besinya. Imejnya mencengkam. Terutamanya bila dia menyarung helmet emas untuk menutupi kecacatan mukanya akibat sumpahan. Seperti sedang menjaga air muka.
Maruah adalah perkara utama dalam penciptaan watak-watak dan mahkluk-makhluk games From Software. Hideteka Miyazaki, pengarah game Elden Ring (Bloodborne dan Dark Souls — semua game susah) ada mengatakan dalam buku Dark Souls: Design Works tentang betapa pentingnya “dignity” dalam penciptaan watak-wataknya.
Perjalanan kita dalam game ini akan mempertemukan kita dengan seorang perempuan bernama Maleficent yang akan membawa kita ke Malenia. Malificent beritahu kita bahawa Malenia telah mengorbankan maruahnya demi melawan seorang lagi dewa bernama Radahn. Malenia menyumpah Radahn dengan sumpahan yang menimpa dirinya sendiri iaitu racun Scarlet Rot.
Kini, Radahn hidup sebagai semi-manusia akibat sumpahan itu. Demi mendakap kematian yang bermaruah, askar-askar Radahn mengadakan sebuah festival untuk bertarung dan membunuhnya. Di sinilah anda masuk untuk kalahkan Radahn. Radahn dapat mati dalam keadaan bermaruah walaupun dia sudah hilang kemanusiaannya. Malenia pula, malangnya, tak dapat meraih penamatan yang sama.
Sedikit latar belakang tentang Malenia. Ceritanya pelik dan rumit. Layan je dulu:
Ibunya, Queen Marika, membelah dirinya dan mencipta seorang dewa bernama Radagon yang kemudian dikahwininya. Senang kata, dia berkahwin dengan diri sendiri. Pinang dibelah dua, kan…? Memang pelik. Tapi game ini ditulis oleh George R. R. Martin penulis A Song Of Ice and Fire (Game Of Thrones) jadi benda pelik macam ini memang sudah dijangka.
Daripada hubungan yang mungkin sumbang mahram itu lahirlah Malenia dan kembarnya Miquella. Malangnya, Miquella diculik ketika dia di dalam rahim lagi. Atau kepompong. Okey, “kepompong” lebih tepat sebab lihatlah Miquella:
Kini, Malenia menanti kebangkitan Miquella yang takkan kunjung tiba sebab Miquella diculik oleh seorang dewa bernama Mohg. Okey, cerita mereka sangatlah rumit jadi saya berhenti di sini sebelum saya sendiri tak faham apa benda saya tulis.
Segala build-up yang membawa kita ke Malenia amat mengujakan. Saya menghargai setiap saat. Kini, saya sudah sampai ke akar Haligtree (malas nak terangkan ni apa benda) untuk berjumpa dengan Malenia.
Di sini kisah tragis Malenia berakhir dan kisah tragis saya bermula.
Susah nak mampus bos ini. Saya dah cuba macam-macam untuk mengalahkan dia. Saya tetap gagal.
Setakat ni saya dah gagal dekat 30 kali.
Untuk melawan Malenia, ada dua fasa. Fasa pertama ialah gambar di atas. Fasa kedua pula dia bertukar rupa, menumbuh sayap dan tidak lagi mengakui diri sebagai Blade of Miquella sebaliknya “God of Rot”. Dia membuang maruah diri (sepertimana dia buat bila bertarung dengan Radahn) untuk mengalahkan kita.
Di dalam post ini, tak ada gambar Malenia di fasa kedua sebab saya masih belum lepas fasa pertama.