Benda Dah Best Dia Buat Jadi Lagi Best – Resident Evil 4 Remake
Penantian – dan RM300 – yang berbaloi.
Saya baru habis main Resident Evil 4 Remake (atau RE4R, ha ha). 5 bintang. 10/10. Bravo. Brava. Bellissimo. Beribu-ribu tahniah. Takbir.
Versi ori yang keluar pada tahun 2005 pun sudah cukup untuk tapau kebanyakan game zaman sekarang apatah lagi versi baru ni.
Bermain RE4 yang ori (saya main 16 tahun lalu) adalah salah satu ‘core memories’ saya di samping kali pertama jatuh cinta (22 tahun lalu), kali pertama menerbangkan layang-layang (25 tahun lalu), dan hari saya akhirnya menghafal Ayattul Kursi (tahun lepas).
Lama* juga saya tunggu untuk membeli RE4 Remake (*tiga bulan). Saya tak beli dan main serta-merta sebab sibuk dengan kerja dan saya tak ada duit.
Terpaksa bersabar. Saya tau ada hikmahnya nanti.
Sementara menunggu, saya hanya mampu membaca semua reviu baik dan pujian tentang game ini di media sosial daripada gamers dan juga pengkritik.
Ketika saya beli pula, saya ada sesi writers room yang berlanjutan sehingga dua minggu. Selepas itu, ada lagi dua minggu di mana saya kena menulis dan menghantar kerja.
Sepanjang empat minggu itu saya tak dapat main. Setiap malam saya mengenanginya macam kekasih.
RE4 Remake tengah buat apa sekarang? Adakah dia juga merindui aku? Musim demam ni, dia cukup makan vitamin tak?
Sejurus selepas menghantar saja hasil kerja (yang saya pasti penuh typo), saya terus menyelami game ini. Kerja rumah sudah komplit, mari shuffle dengan shafla detura.
Saya menghabiskannya dalam masa empat hari.
Salah satu sesi itu saya main selama 8–9 jam. Memang hari itu Hari Resi 4 bagi saya.
Phone dalam mod Do Not Disturb. Hanya jawab panggilan mak. Langsir ditutup. Tiada apa boleh ganggu saya termasuklah cahaya matahari.
Saya pesan dua piza besar. Itulah sarapan pagi, makan tengah hari, dan makan malam. Seronok, kan?
Tak. Langsung tak. Saya dah muak dengan piza.
Okey, RE4 Remake:
Saya ingatkan pembaharuan yang dibuat hanya pada grafik dan beberapa mechanics saja. Rupanya, ada banyak dan ia memberi pengalaman yang menyegarkan. Ini sebuah ‘remake’, bukan ‘remaster’.
‘Remake’ adalah pengolahan semula permainan, cerita, dan grafik berlandaskan game asal. ‘Remaster’ pula penambahbaikan visual tanpa mengubah benda lain. (Alang-alang kita kat sini) ‘Reboot’ pula bermaksud game baru dengan cerita, watak, dan permainan baru di mana elemen penting saja yang dikekalkan.
Dengan grafik yang lebih gelap dan mengerikan, saya rasa macam main game baru walaupun saya kenal sangat dunianya.
Saya mengaku, di bahagian awal masa kita masuk rumah pertama itu, saya agak cuak. Saya tau kita akan berjumpa dan berlawan dengan tuan rumah. Tapi rasa saspens itu tidak dapat dibendung.
Suasana dalam rumah itu gelap, sempit, dan senyap. Cukup mengerikan untuk bawa saya keluar dari arus make-believe video game dan terus ingat Tuhan.
Lagi satu bahagian yang buat saya betul-betul saspens ialah bila kita bermain sebagai Ashley dan kena bergerak senyap-senyap untuk mengelak musuh kebal dalam ruang yang seram.
Masa tu, jantung saya berdegup kencang. Tak pasti penyebabnya apa: game atau 10 keping piza yang saya makan hari tu.
Kita hanya ada lantera sebagai senjata. Dengan senjata ini, kita tak boleh membunuh musuh. Hanya boleh buat mereka kaku selama beberapa saat dengan menghalakan lampu lantera kepada mereka.
Teringat game Fatal Frame di mana kita dipaksa mengambil gambar hantu.
Misi Ashley ini memang lain daripada ori. Banyak lagi misi diubah. Ada beberapa misi pula dibuang terus.
Salah satunya ialah bahagian di mana kita bertemu dengan robot gergasi Ramon. Seingat saya, kita kena berlari daripada robot gergasi Ramon. Dan seingat saya, bahagian itu ialah quick time events. Dan seingat saya, saya benci bahagian itu.
Pembuangannya adalah keputusan yang bijak.
Lagi satu ialah, juga di Castle, di mana kita meniti sebuah platform sambil ditembak api dari mulut patung naga. Bila diingat semula, bahagian ini agak kelakar.
Selain misi, skrip juga telah diubah. Elemen campy dikurangkan supaya sesuai dengan tone baru yang lebih matang dan gelap. Dikurangkan saja, bukannya dihilangkan terus.
Saya ada tulis dulu bahawa elemen campy ini penting dalam RE4. Kalau tak ada, bukan Resident Evil nama dia.
Dari segi mechanics pula, kini ada weapons wheel. Oh, perubahan ini amatlah dialukan.
Senang nak keluarkan flashbang bila berdepan dengan Plaga. Puas hati betul melihat kepala Plaga meletus.
Saya tak ingat sama ada weapons degradation dan crafting peluru ada atau tak dalam versi ori. Dalam game ni ada.
Walaupun saya anti weapons degradation, saya okey dengan pisau yang boleh patah dan perlu dibaiki.
Saya juga okey dengan crafting sebab ia memberi kita pilihan untuk membuat peluru mengikut senjata yang kita nak.
Jadi tak adalah kita jumpa peluru sub-machine gun je banyak walaupun kita dah jual sub-machine gun kita.
Dengan pembuangan beberapa misi, cut scenes, dan dialog, watak juga berubah.
Leon lebih cool walaupun saya agak kecewa dengan ketiadaan baris dialognya paling ikonik iaitu bila dia berjumpa dengan Ramon di Castle dan Ramon mengarah dia untuk mengembalikan Ashley dan dia cakap, ‘No thanks, bro!’
Ashley, watak yang paling dibenci dalam versi ori, kini tidak lagi menjengkelkan. Malah, saya suka dia. Dia lebih tegas dan tak gedik. Saya mula nampak chemistry dia dengan Leon.
Mereka boleh jadi duo yang comel. Saya nak ikuti adventure Leon Kennedy dan Ashley B̶i̶d̶e̶n̶ Graham. Malangnya, tak ada.
Ramai orang tak suka pelakon baru Ada Wong. Lakonan dia kayu. Attitude-nya dipaksa-paksa.
Tapi okey bagi saya sebab kena dengan sikapnya yang dingin dan tak berperasaan. Ada Wong lama lebih seksi tapi Ada Wong ini lebih menawan.
Malangnya Lily Gao, pelakon suara watak Ada Wong, dihentam dengan teruk sekali oleh peminat RE4. Sampai beliau menutup akaun Instagramnya.
Gamers memang toksik. Saya tak faham kenapa mereka harus menyerang pelakon secara peribadi macam tu. Kalau nak kritik, tulis sajalah di forum atau buat video TikTok.
Saya harap Lily Gao sihat walafiat dan berjaya healing daripada kecelakaan ini.
Merchant pun dah lain. Dia jauh lebih petah sekarang. Tidak lagi asyik ulang, “What are you boy-ying?!” macam burung kakak tua.
Tarikan utama setiap game Resident Evil tentulah musuh-musuhnya: Zombi, mutan, dan orang kampung.
Makhluk kegemaran saya dalam game ini ialah Regenerator. Rupanya lebih kurang sama macam dulu. Dia tak perlu dilakukan apa-apa perubahan sebab dia memang sempurna sejak dulu lagi.
Bezanya sekarang dia boleh bertukar menjadi Iron Maiden selepas ditembak mati. Dalam ori, Regenerator dan Iron Maiden adalah dua makhluk berbeza. Kali ini, seekor Regenerator boleh berubah menjadi Iron Maiden sebagai surprise.
Tak sempat saya melepaskan nafas lega, kena melawan Iron Maiden. Untuk membunuh Regenerator dan Iron Maiden, kita perlukan skil menembak tepat yang tinggi. Saya sangat lemah bab ini.
Dalam playthrough pertama, saya menyelesaikan puzzle dan misi dengan cepat tanpa menghiraukan side missions.
Untuk kedua pula, saya akan main pelan-pelan. Saya merancang untuk menghabiskan semua side missions dan menang beberapa trofi.
Side missions kini lebih banyak. Bukan setakat menembak medallion biru saja. Ada juga kena bunuh tikus dan sebagainya.
Bila berjaya, kita akan mendapat Spinel daripada Merchant yang boleh digunakan untuk membeli barang.
Saya bukan seorang completionist. Bukan pengumpul trofi. Tak pernah dapat trofi platinum pun. Malah, dalam hidup pun saya hanya ada dua medal: medal separuh marathon dan lanyard VIP konsert Blackpink.
Kali ini saya nak cuba meraih sebanyak trofi yang mampu.
Saya dah tengok senarai trofi. Ada satu tu memang saya tak mampu buat iaitu ‘Frugalist’. Syaratnya, ‘playthrough without using any healing items.’
Gila ke? No thanks, bro.
Saya main dalam mod Assisted pun tiga, empat kali kena heal – ni baru chapter pertama.
Trofi ‘S+ Rank Investigator’ di mana kita kena habiskan dalam difficulty hardcore tu insyaAllah boleh.
Untuk playthrough kedua, saya pilih kostum baru untuk Leon yang saya dapat lepas tamat playthrough pertama. Dia kini gangster Chicago zaman Prohibition.
Fizik skarf tu memang mengagumkan. Beralun-alun bila berlari.
Ia juga muncul dalam cut scenes. Di rumah pertama kita masuk tu, bila Leon melutut untuk kutip dompet atas lantai, kita cut to close-up dompet tu dan boleh nampak hujung skarfnya dalam gambar.
Ah, Resident Evil 4 Remake, kau memang penuh kejutan.
Semua senjata playthrough pertama saya dibawa ke playthrough kedua. Shotgun, rifle, dan juga pistol magnum.
Saya baru habis chapter pertama dalam playthrough kedua.
Kalau berjaya habiskan 100% game ini termasuk side missions, maka unlock-lah satu lagi core memory hidup saya.