Menghargai Delbert Grady, Penjaga Hotel Yang Tersakiti — The Shining (1980)

Adegan filem The Shining Yang Menjadi Kegemaran Saya [UPDATED].

Hadi M. Nor

--

AMARAN: Ada spoiler.

Saya menonton filem The Shining buat kali ke berapa entah dalam penerbangan saya ke Guangzhou di mana saya duduk dalam bahagian Business Class sambil makan makanan Business Class yang lazat. Beberapa butiran dalam ayat tadi tak penting — saya saja nak menunjuk.

The Shining, filem klasik arahan Stanley Kubrick adaptasi daripada novel Stephen King, mengisahkan keluarga Torrance yang bertugas menjaga sebuah hotel terpencil bernama The Overlook Hotel pada musim sejuk. Hotel ini ditutup pada musim itu maka yang ada hanya penjaga dan keluarganya.

Jack Torrance (Jack Nicholson) mengambil kesempatan kesunyian hotel itu untuk menulis. Dia ingatkan keterasingan akan membantunya tapi dia salah; keadaan sunyi hotel berhantu itu buat dia jadi gila. Anak dia pula ada kuasa psikik dan boleh nampak hantu-hantu hotel itu. Bini dia, Wendy (Shelley Duvall), yang cuba menyesuaikan semua orang dengan keadaan hotel itu, menjadi penghalang kepada Jack dalam menghasilkan karya dan menjalankan tugas sebagai penjaga.

Kalau nak plotnya dengan lebih lanjut, sila ke Wikipedia.

Saya nak sembang pasal adegan ikonik kegemaran saya yang baru: Masa Jack berjumpa dengan Delbert Grady.

Memang The Shining ada banyak adegan ikonik. Antaranya,
- “All work and no play makes Jack a dull boy.
- “Heeere’s Johnny!
- Mak cik bogel dalam tab mandi. (Tak sangka bahagian ini tidak dipotong.)

Dicuri dari https://www.reddit.com/r/MovieDetails/comments/8u1jy0/paper_reads_dull_bog_and_dull_bot_instead_of_boy/

Tapi dalam tontonan kali ini, adegan Delbert Grady paling mencengkam. Saya sampai terbaring atas kerusi Business Class itu yang memang ada tempat untuk mengunjur dan letak kaki.

Sepanjang filem ini, Jack pelan-pelan hilang kewarasannya. Ini paling jelas dalam adegan (juga ikonik) di mana dia bersembang dengan penjaga bar bernama Lloyd yang tiba-tiba muncul dalam bilik The Gold Room.

Dicuri dari https://www.fangoria.com/original/alcoholism-in-the-shining-and-doctor-sleep/

Tapi saya lebih suka adegan dia pergi ke bar The Gold Room itu buat kali kedua. Dalam kali kedua ini, pegangannya pada realiti dah terlepas terus. Bukan saja dia nampak Lloyd lagi, malah muncul lebih ramai orang dalam bilik besar itu. Ada parti besar-besaran. Sesak. Jack mabuk saat dia melangkah masuk.

Pakaian semua orang dalam bilik itu anakronistik. Gaya tahun 1920an. Jack seorang saja berseluar jeans dan jaket moden.

Dicuri dari https://letsnottalkaboutmovies.blogspot.com/2011/10/dont-make-scene-shining.html

Jack akhirnya bahagia. Senyum di muka, muzik di udara, dan segelas bourbon dalam tangan. Dia menari seorang diri. Kemudian dia terlanggar seorang pelayan yang membawa minuman. Tertumpah ke Jack.

Pelayan itu membawanya ke bilik air untuk membersihkan jaket Jack.

Suasana dalam bilik air itu suci. Terlalu bersih dan terjaga sampai kita mempersoalkan adakah mereka masih di hotel itu? Kontranya dengan The Gold Room yang hanya terletak di sebalik pintu bilik itu sangatlah ketara.

Di sini, Kubrick membingkaikan syot di mana pelayan itu membelakangi kita. Dan kita kekal di sini buat masa yang lama.

Adegan ini panjang. Lebih kurang enam minit. Oleh sebab saya suka sangat-sangat perbualan mereka, saya sertakan sebahagian transkripnya:

JACK: What do they call you here, Jeevesy?

DELBERT GRADY: Grady, sir. Delbert Grady.

J: Grady? Delbert Grady?

DG: That’s right, sir.

[Pause]

J: Mr. Grady? Haven’t I seen you somewhere before?

DG: Well, no, sir. I don’t believe so. [Sambil sapu-sapu jaket Jack] It’s coming off now, sir.

J: Mr. Grady… Weren’t you once the caretaker here?

DG: Why no, sir. I don’t believe so.

J: You a… married man, are ya, Mr. Grady?

DG: Yes, sir. I have a wife and two daughters, sir.

J: And… where are they now?

DG: They’re somewhere around. I’m not quite sure at the moment, sir.

[Jack rampas kain dari tangan DG]

J: [Suara lembut, senyum] Mr. Grady… You were the caretaker here. I recognize ya. I saw your picture in the newspapers. You, uh… chopped your wife and daughters into little bits… and… and you blew your brains out.

Semua benda tentang adegan ini mengganggu perasaan kita: Kedengaran muzik parti zaman dulu sayup-sayup, percakapan Delbert Grady dan Jack yang tenang walaupun membincangkan benda menakutkan, suasana bilik yang rasa macam di titik antara mimpi dan realiti. Semuanya buat kita rasa tak senang duduk walaupun atas kerusi besar dan empuk Business Class.

Dalam adegan ini, Delbert Grady memberitahu beberapa benda penting:

  1. Delbert Grady memang betul ialah penjaga The Overlook Hotel yang membunuh isteri dan anak-anaknya kemudian membunuh diri.
  2. Jack juga adalah “penjaga” The Overlook Hotel. Selama ini, memang Jacklah penjaganya — Ini bayangan awal kepada penamat filem di mana kita nampak gambar Jack dalam The Gold Room diambil pada tahun 1921.

Delbert Grady menceritakan yang dia membunuh keluarganya untuk menjaga hotel itu. Tapi diceritakan dengan cara yang menghalalkan kekejamannya. Dia menegaskan, “I… corrected them, sir.”

“Corrected.” “Perbetulkan.” Kononnya dia menjalankan tugas. Dan dia berbangga kerana menjalankan tugasnya.

Lepas mendengar pengakuan dan cerita Delbert Grady, Jack pula pergi “menjalankan tugas” sebagai penjaga The Overlook Hotel dan cuba membunuh anak dan isterinya.

Maka, bermulalah amukan Jack. Saat ini, filem ini naik ke gear lima dan pecut sampai habis.

Adegan pertemuan dengan Delbert Grady ini adalah salah satu sebab kenapa filem The Shining diangkat sebagai salah satu filem paling unggul dalam sejarah sinema.

Saya terlepas pandang kegeniusannya sebelum ini sebab nampak macam simple.

Tapi sebenarnya ia menampakkan segala keistimewaan filem ini: Tension yang dibina secara perlahan, suasana ngeri, lakonan padu, pergerakan cerita terkawal, pembingkaian syot yang unik dan pelik, dan pertembungan dua jenis horror iaitu psikologi dan supernatural. Semuanya ada dalam adegan ini.

Saya bersyukur sebab akhirnya dapat menghargai adegan ini dengan sepenuhnya walaupun ditonton dalam kapal terbang. Business Class.

Baca juga:
Ini Filem Shelley Duvall — The Shining (1980)

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet