Tahan Sakit 2: Jogging = Zen

Tiada montaj ala Rocky di sini.

Hadi M. Nor
5 min readSep 28, 2022

Bila mula berjogging, saya buat keputusan untuk go all in. Macam semua lelaki tipikal, saya nak belanja duit untuk hobi baru saya ini.

Benda pertama, yang paling penting, ialah pakaian. Saya beli baju-baju jogging dan track pants sebab saya cuma ada tiga jenis seluar: jeans, slacks, dan seluar pendek (untuk tidur atau pergi 7E).

Tak ada seluar sukan sebab saya mana pergi bersukan. Kadang-kadang, bila diajak (baca: dipaksa) menghadiri aktiviti lasak macam bermain paintball atau go-kart, saya pakai seluar trek sekolah.

Kasut pun ada dua pasang — satu untuk majlis formal, lagi satu untuk jalan-jalan.

Kasut jogging pertama saya jenama Skechers. Dulu, sebelum Skechers mampu membayar artis K-Pop untuk menjadi duta produk, jenama ini dipandang hina.

Orang fesyen yang bermaruah lebih rela mati daripada memakai kasut Skechers. Nasib baik saya tak peduli tentang fesyen dan maruah.

Kasut yang saya beli pun sebenarnya “walking shoes”. Ada kusyen. Tapaknya tebal. Nak jalan 100 km pun tak rasa sakit. Ya, saya guna kasut orang tua pergi jalan untuk berjogging.

Ini tidak digalakkan. Walking shoes sebenarnya tak sesuai untuk pakai pergi berlari. Ini sebab cara kita pijak masa berlari dan masa berjalan adalah berbeza.

Takat sini saja saya berani palatao tentang kasut. Kalau nak tau lebih dalam, sila tanya orang pandai.

Lepas pakaian, kenalah ada aksesori.

Dulu saya ada jam Apple Watch untuk merekod jarak dan kelajuan saya. Kemudian skrin Apple Watch itu pecah berlubang. Tak tau macam mana boleh jadi macam tu. Mungkin terlanggar bucu meja.

Lepas tu saya beli jam FitBit dan mendoakan agar kilang yang membuat Apple Watch saya yang cepat jahanam itu ditelan bumi.

Semasa berlari, muzik sangat penting bagi saya. Kalau tak ada muzik, saya tak nak berlari. Malah, sebab utama saya pergi berjogging adalah untuk mendengar muzik.

Saya guna earphones iPhone saja. Tapi setelah beberapa kali tercabut sebab tangan saya tertarik kabelnya, saya beli earphones bluetooth. Sony. Tak ingat model apa.

Ini earphones terbaik saya pernah ada. Ia telah menjadi arwah sekitar tahun 2020. Saya masih menyayanginya sehingga hari ini.

Sekarang, saya guna earphones JBL Endurance Sprint. Walaupun tak setaraf Sony, earphones ni bagus juga. Untuk harganya, sangat-sangat berbaloi. Tahan lasak, tahan air, dan baterinya boleh bertahan 9 jam.

Cuma bass dia tak berapa padu. Dan nak kawal volume pun agak susah sebab ia tak ada butang. Cuma ada semacam touchscreen kecil untuk mengawal kadar suara/play/pause/off/on/pair bluetooth.

Untuk kawal volume, kena mengelus touchscreen tu ke atas atau ke bawah. Untuk play/pause kena tekan sekali. Dan off/on pula kena tekan lama-lama.

Bahagian kecil ini untuk melakukan semuanya. Bayangkan kalau pedal minyak kereta anda juga adalah pedal brek dan pedal hidupkan enjin.

Muzik yang saya dengar bukanlah muzik biasa orang dengar bila bersukan. Rentak laju, kuat, lagu-lagu high energy? Bukan untuk saya, kawan-kawan.

Saya suka dengar lagu-lagu jiwang.

Memang, ada lagu-lagu yang laju macam Black Skinhead (lagu jogging kegemaran saya). Tapi, saya juga suka:

  • 400 Lux, Lorde
  • Bilaku Jatuh Cinta, Nidji
  • When It Rains, Paramore
  • Demon Dayz, Gorillaz
  • Relaku Pujuk, Spider
  • No I in Threesome, Interpol

dan lain-lain.

Saya menganggap jogging ini sebagai satu meditasi. Otak saya berehat. Badan yang bekerja. Fikiran kosong, tapi emosi bergolak.

Oh, ya, emosi memang bergelora macam di tengah-tengah laut India Selatan.

Kerap juga saya diserang perasaan nostalgia ketika berlari. Tiba-tiba terasa sedih. Jasad tengah berlari, tapi kesedaran saya kembali ke tahun 2000. Saya 9 tahun, menonton The Simpsons kat TV. Mak di dapur, tengah menggoreng nugget untuk saya…

Ada penjelasan saintifik tentang fenomena nostalgia tak pasal-pasal ni. Bila badan kita merasai tekanan, otak kita pun akan bereaksi.

Menurut artikel ini, bila kita bersenam, emosi kita memuncak. Maka kita lebih in touch dengan perasaan dan fikiran kita. Kalau ada apa-apa yang terpendam dalam diri anda, semuanya akan terkeluar bila melakukan aktiviti fizikal.

Sebab itu sekarang saya lebih memahami pemain bola yang asyik gaduh-gaduh atas padang. Sergio Ramos, Pepe, Diego Costa dan lain-lain sebenarnya bukanlah panas baran. Cuma jiwa tersakiti.

Kalau berjogging untuk mencapai results — contohnya, mahu menaikkan stamina atau menguruskan badan — sudah tentunya muzik-muzik high energy membantu.

Tapi saya berjogging untuk kesihatan mental. Jadi kalau tak sampai target iaitu dua pusingan (2.3 km) pun tak apa.

Memang, berat badan saya turun. Ya, saya makin berotot dan hensem. Tapi itu semua bonus saja. Objektif saya adalah untuk berjogging.

Saya tak mengharapkan apa-apa. Dan saya rasa ini telah mengubah saya sebagai manusia. Saya bukan lagi seorang yang results-driven. Saya lebih pentingkan perjalanan dan kerja.

Setelah tiga tahun berjogging, baru saya menemui ritma dan kelajuan yang saya senangi. Saya cuba berjogging pagi. Kalau liat nak bangun, saya jogging petang.

Tapi, petang tak berapa seronok. Di taman saya, ada beberapa orang yang merokok di situ. Saya tak tahan betul dengan bau asap rokok ketika berjogging walaupun ketika itu saya perokok tegar.

Sekarang, saya hanya pergi waktu pagi, lebih kurang pukul 6.30–7 macam tu. Sebab: 1) udara segar. 2) orang tak ramai. 3) hari lebih indah.

Saya tak merindui jogging petang walaupun ada sekali tu suatu miracle berlaku: saya nampak memerang.

Tak sangka di tempat urban macam Subang Jaya adanya memerang. Ingatkan Subang Jaya hanya lubuk fuccboi dan perempuan “open-minded” saja.

Yang saya nampak tu ada dua ekor. Berenang betul-betul di tengah tasik. Ramai auntie-auntie dan uncle-uncle berhenti brisk walk untuk melihatnya dan mengambil gambar dan presumably hantar ke grup whatsapp keluarga masing-masing.

Saya pun berhenti untuk mengamati momen indah itu. Langit oren. Matahari nak terbenam. Dan di foreground, memerang sedang berenang.

Pengalaman itu begitu bermakna bagi saya. Saya punyalah excited. Saya cerita peristiwa ini kepada kawan saya. Dia cakap, “Wei, ni kali ketiga kau cerita benda ni kat aku.”

Tapi, sebenarnya, saya pergi jogging tanpa memakai cermin mata. Jadi penglihatan saya tak jelas. Yang saya nampak tu entah-entah sebenarnya anjing yang tengah lemas.

Walaupun jogging memberi kita macam-macam manfaat, saya tak pernah mengharapkan apa-apa daripadanya. Saya cuma nak jogging. Itu saja sudah cukup untuk buat saya bahagia.

Lepas tu, pada suatu hari, pandemik melanda dan dunia seolah-olah berhenti berputar.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet