Tahan Sakit 3: Terus Jalan

Mengatasi kemalasan dan patah hati pasca putus cinta.

Hadi M. Nor
4 min readOct 5, 2022

Kebanyakan bandar yang maju dan moden ada laluan jalan kaki yang luas, bersih, dan rata. Selamat untuk berjogging. Bila nak melintas jalan, pemandu kereta dan motosikal akan berhenti untuk pejalan kaki.

Di negara maju, pemandu kereta yang minta izin daripada pejalan kaki. Mereka akan tanya, “Ursäkta mig! Får jag gå först?” dan pejalan kaki akan jawab, “Jag måste korsa vägen först, om du inte har något emot det!” dan pemandu kereta akan cakap, “Åh, just, förlåt! Glömde mina seder! Var snäll och fortsätt!”

Tapi tidak di negara kita. Semestinya tidak di Subang Jaya.

Saya tak suka berjogging di tepi jalan. Malah, benci. Tapi bila diumumkan kelonggaran semasa PKP, saya buat juga. Terpaksa. Sebab taman kegemaran saya masih tutup ketika itu. Sampai dirantai pintu pagar untuk kesan dramatik.

Saya jogging tepi jalan walaupun hati merindui taman.

Walaupun sekarang, bila PKP dah tak ada, saya masih nampak orang berjogging di tepi jalan di Subang Jaya. Tak faham macam mana mereka boleh ignore bau asap ekzos, kebisingan trafik, dan kereta dan motosikal yang laju-laju.

Paling pelik sekali, kebanyakan yang jogging tepi jalan ini ‘run naked’. Jangan salah faham. ‘Run naked’ ertinya berlari tanpa aksesori, tanpa mendengar muzik. Bukannya berlari dalam keadaan bogel.

Saya juga skipping. Dan saya agak hebat melakukannya. Cukup hebat sampai saya cukup yakin untuk post video di IG story. Tapi saya tak berapa minat skipping sebab terlalu sekajap. 10 minit skipping, pancit, rehat 40 minit.

Skipping, tak puas. Jogging kat luar pun tak puas. Saya kena cari cara lain untuk melawan kemurungan PKP. Saya perlukan sesuatu untuk buat saya rasa hidup.

Abang saya ada peralatan senaman angkat berat di rumah. Dia membelinya daripada Shopee.

Lalu saya mula berjinak-jinak membuat senaman membina badan. Abang saya mengajar saya cara betul untuk membuat chest press, bicep curls, resistance band tricep exercise dan macam-macam lagi.

Saya memperkuatkan otot tangan, dada, dan core. Baru saya sedar betapa lembiknya saya selepas cuba mengangkat berat.

Chest press, 15 reps, 5 set. Bicep curls, 10 reps, 3 set. Kadang-kadang buat squats, kadang-kadang buat senaman dengan resistance band untuk triceps. Rutin saya tukar-tukar tapi saya konsisten buat senaman.

Tak ingat siapa Perdana Menteri kita masa tu, tapi dia umumkan kelonggaran baru. Kali ini, taman rekreasi kegemaran saya itu membuka pintu pagarnyanya kepada awam.

Saya mula berjogging dengan niat untuk membaiki form yang sudah pasti lemah. Saya tak mengharapkan apa-apa dengan larian ini. Saya mengingatkan diri saya untuk tidak kecewa kalau lari sepuluh langkah pun pancit.

Terkejut saya bila saya berlari lebih laju dan jauh daripada dulu. Bertenaga, bersemangat, dan rasa macam terbang. Form saya lebih baik daripada dulu, sebelum PKP pertama. Rasa macam I can take down the whole empire myself.

Hidup kembali normal.

Pada suatu hari yang indah, saya putus cinta. Segala yang saya bina — stamina, disiplin, rutin — semua musnah. Saya kena mula dari kosong balik.

Sebab saya berhenti bersenam. Sebab semangat saya hilang. Saya merosot dan kembali rasa setaraf cacing parasit dalam usus babi. Pengalaman ini memaksa saya untuk merenungi hidup sendiri.

Benda paling menyakitkan bila disakiti macam ni ialah kita tetap menyayangi orang yang menyakiti kita. Jadi, kebencian dan kemarahan yang terwujud tidak dihalakan kepada mereka tetapi kepada diri sendiri.

Hari-hari berikutan memang sukar. Tiada jalan singkat untuk mengatasi blues putus cinta. Saya tau dengan bersenam, saya pasti boleh distract diri sendiri. Tapi nak bangun dari katil pun susah, apatah lagi nak buat planking? Nak makan pun tak ada selera, macam mana nak buat plié squats?

Saya simpan kisah break-up saya daripada mak saya. Berat hati betul nak bagitau. Saya tunggu sampai balik kampung untuk bagitau dia dan kakak saya depan-depan. Sengaja saya bagitau sambil membasuh cawan (nampak rajin) supaya mak saya tak marah sangat.

Mak saya tanya, “Dah berapa lama break?” Saya jawab, “Dua minggu sudah.”

Saya ingatkan dia akan marah saya. Tapi tidak. Mungkin sebab saya anak manja, mungkin dia kesiankan saya sebab dia nampak pada muka saya yang saya tak cukup tidur tak cukup makan sepanjang dua minggu itu.

Mak saya cakap, “Sorry I wasn’t there for you,” sambil menepuk-nepuk bahu saya.

Saya amat tersentuh. Dan selepas membasuh cawan itu (satu je), saya masuk bilik tidur dan tidur dengan nyenyak sekali. Pagi esoknya lebih indah daripada biasa.

Saya pergi berjogging balik tapi tak push diri sendiri. Saya lebih bersabar. Saya konsisten. Lebih kurang sebulan berjogging baru form lama saya yang hebat gila itu kembali.

Jadi, saya berlari lebih jauh dalam sesi-sesi seterusnya. 5 km. 8 km. 10 km.

Lebih banyak kalori dibakar, makan pun lagi banyak. Bilangan kuih cekodok saya makan setiap kali lepas jogging turut meningkat. 3 biji. 5 biji. 7 biji.

Pelan-pelan, saya kembali bersemangat. Saya rasa macam juara. Saya rasa macam orang dalam iklan Milo. Saya mahu mencapai kejayaan yang hebat pada 2022. Saya nak tahun 2022 saya all W’s, no L’s. Selepas novel saya diterbit, saya nak lakukan sesuatu yang hebat lagi.

Saya dahagakan glory! Tapi apa?

Panjat gunung Kinabalu? Mahal, jauh. Road trip satu semenanjung? Mahal, jauh. Maraton? Hm…

Jarak maraton ialah 42 km. Paling jauh saya pernah lari pun 10 km je. Itu had saya. Sampai saja 10 km, satu badan sakit terutamanya my neck, my back. Macam lagu Khia.

Sebab itulah saya pilih maraton. Kejayaan yang hebat sudah tentulah datang daripada cabaran yang hebat (yang tak mahal dan tak jauh). Inilah yang saya nak kenangi di masa depan.

Untuk merangkul glory, saya harus tawan 42 km itu.

Tapi saya daftar untuk separuh maraton — 21 km.

--

--

Hadi M. Nor
Hadi M. Nor

Written by Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.

No responses yet