Tahan Sakit 4: Separuh Masak

Persediaan separuh masak untuk separuh maraton.

Hadi M. Nor
5 min readOct 14, 2022

Jarak separuh maraton ialah 21 km, iaitu (lebih kurang) sama dengan jarak:

  • Subang Jaya ke Klang
  • Ipoh ke Gopeng
  • Apa lagi eh? Uh… Klang ke Subang Jaya

Basically, 21 km ni jauh nak mampus. Sejurus selepas membuat pendaftaran, saya terus kecut hati.

Rasa macam nak tarik balik pendaftaran saya. Refresh borang dalam talian tu mengharapkan borang saya tidak dihantar. Tapi terlambat kerana realiti dan masa tidak ada butang undo.

Kemudian, keraguan saya terus terpadam. Saya dapat motivasi untuk teruskan dengan perlumbaan itu — a sign from above. Datang dalam bentuk mesej: RM200 has been charged to your debit card.

Pendaftaran dah disahkan. Tak boleh patah balik. Sebab polisi bagi pendaftaran ini ialah “no refund”.

Saya masih menganggap diri saya newbie walaupun dah 5 tahun berjogging hampir setiap hari. Kena buat persediaan betul-betul. Kalau tak, saya pasti akan jatuh dan mati dalam keadaan yang memalukan.

Macam hero dalam filem-filem kung-fu, saya pergi menuntut ilmu daripada sifu. Sifu saya bukannya seorang tua yang tinggal di dalam sekolah Shaolin atau di puncak gunung. Dia tinggal di dalam alam maya. Namanya Google.

Carian ringkas di Google menemukan saya kepada satu jadual latihan separuh marathon di website ini.

Kalau diikut jadual latihan ini, saya kena berjogging setiap Isnin, Rabu, Jumaat, dan Sabtu. Hari Selasa pula buat senaman lain (saya angkat berat) dan Khamis pula yoga. Hari Ahad ialah hari rehat.

Kena ikut jadual ini betul-betul. Tak boleh ponteng. Selagi tak sakit, selagi itulah kita kena ikut. Asal boleh kayuh, kita kayuh. Kalau sakit, kena tahan.

Malangnya, training saya tidak begitu lancar. Banyak kali saya ponteng sebab sakit. Kesakitan paling teruk ialah sakit lutut. Saya terpaksa belanja duit untuk membeli knee sleeve.

Saya beli di kedai Decathlon. Decathlon ialah syurga bagi semua orang yang sukakan aktiviti lasak. Ada barang-barang camping, memancing, hiking, diving, dan sebagainya.

Kalau anda masuk, pasti anda akan keluar dengan hobi baru. Terdetik dalam hati saya untuk mula camping bila nampak pelbagai jenis khemah yang menarik di situ.

Tapi saya bukan jenis yang boleh hidup di dalam hutan. Saya city boy. Saya hanya akan pergi camping kalau ada McD berdekatan.

Lepas membeli knee sleeve dan meletak kembali barang-barang camping yang saya tak jadi beli, saya sambung training.

Tak sangka knee sleeve sangat membantu. Ada penjelasan saintifik tentang fungsi knee sleeve ini tapi saya rasa ia lebih kepada magic. Sarung saja knee sleeve, saya rasa macam Bruce Wayne scene dia pakai leg brace dalam filem Dark Knight Rises. Boleh sepak dinding sampai pecah.

Setiap malam sepanjang latihan, saya tidur pukul 9.30 malam macam orang tua. Pada mulanya, memang susah untuk tidur awal macam ni. Sebab ada banyak benda saya suka buat waktu malam misalnya main game dan membaca.

Malam ialah masa untuk berehat. Saya satu-satunya penulis skrip yang saya kenal yang tidak bekerja waktu malam. Terbenam saja matahari, saya jadi tak guna. Otak jadi slow. Keinginan untuk menghidupkan PC dan main game memuncak.

Jadi, bila tidur awal, masa santai saya menjadi kurang. Ini salah satu pengorbanan besar yang saya buat demi separuh maraton ini.

Google juga mengajar saya untuk menjaga diet. Bab ini saya gagal dengan gemilang. Langsung tak ikut. Makan oats? Quinoa? Avokado? Hah!

Saya tak boleh ikut diet sihat kerana: 1) Mahal. 2) Tak sedap. 3) Tak ada masa nak masak.

Ada satu cara diet yang senang iaitu dengan “meal prep”. Anda masak dan simpan dalam peti ais untuk dimakan dua-tiga hari berikut. Ini cara yang bagus sebenarnya. Jimat masa, jimat wang, dan tak payah menyusahkan diri dengan soalan, “nak makan apa hari ni,” lagi. Saya akan mencubanya satu hari kelak. Mungkin bila matahari terbit dari barat.

Satu-satunya perubahan dalam diet saya ialah saya lebih kerap makan nasi lemak. Saya jadi hantu nasi lemak sejak memulakan training ini.

Selain itu, alhamdulillah saya dapat mengikut jadual itu dan form saya bertambah jauh lebih baik. Dulu, saya tak boleh lari 8 km berterusan. Kena lari-jalan-lari. Dengan latihan ini, saya dapat berlari 10 km tanpa henti. Satu kejayaan yang hebat memandangkan saya makan nasi lemak hampir setiap hari.

Beberapa puluh bungkus nasi lemak kemudian, hari perlumbaan tiba.

Perlumbaannya di Cyberjaya. Saya tempah bilik hotel. Tiga hari, dua malam di Tan’ Yaa Hotel (Kenapa nama dia macam tu? Jangan Tan’ Yaa saya).

Memang lebih murah kalau saya memandu saja dari Subang Jaya tapi perlumbaan itu bermula pukul 5.30 pagi. Takkan saya nak drive dari Subang Jaya pukul 3, 4 pagi macam orang mabuk balik clubbing?

Pagi Sabtu, saya pergi berjogging. 3 batu (4.8 km) saja. Pelan-pelan, santai-santai. Hanya untuk memanaskan badan. Ini hari terakhir latihan saya. Lepas tu, saya terus memandu ke Cyberjaya.

Saya kena pergi mengambil race pack. Dalam race pack ada bib nombor (wajib pakai. Kalau tak ada, anda akan dibuang), baju percuma, dan losyen.

Di tempat mengambil race pack itu, ada juga gerai-gerai yang menjual barang-barang kesukanan. Saya membeli protein bar sebab awek yang menjaga gerai tu comel. Ada juga gerai kopi Vietnam tapi tak ada siapa jaga. Mungkin pekerjanya pergi minum kopi kat tempat yang lebih sedap.

Lepas tu, saya daftar masuk hotel, letak barang-barang dan keluar balik.

Saya pergi ke DPULZE mall membeli makanan ringan (roti coklat Mighty White) dan air minuman (4 botol Spritzer besar dan satu susu coklat). Lepas tu, saya balik ke hotel untuk membuat persediaan mental dengan menonton kartun kat TV.

Macam Viking sebelum pergi berperang, saya makan besar-besaran dalam bilik itu. Di Cyberjaya ada banyak kedai Arab. Saya tak familiar sangat, pakai order je kat Grab. Nasib baik restoran yang saya pilih tu sedap.

Ayam mandy + beef wrap + susu coklat. Saya terlalu kenyang untuk buat apa-apa lepas tu. Tak tersentuh pun novel dan buku komik yang saya bawa. Saya tidur pukul 8.45 malam.

Bangun pukul 3 pagi. Bancuh kopi percuma yang ada dalam bilik hotel. Gila babi tak sedap. Saya makan protein bar yang dibeli semalam. Tak sedap juga.

Sejam kemudian, saya buat planking selama 1 minit 30 saat. Saya tak bawa yoga mat jadi saya buat planking atas karpet hotel yang keras dan kasar. Pun tak sedap.

Lepas tu, saya pasang bib pada baju dan duduk termenung. Saya bayangkan saya dalam filem tinju. Ini babak ketiga sebelum saya bertarung dengan seteru saya. Perlawanan ini ialah metafora untuk trauma dalam hidup saya — saya harus menang. Terngiang-ngiang suara pelatih saya yang baru saja mati. “You kin do it, boy-o. Yer got a beast in ya,” katanya dalam loghat Ireland yang pekat.

Dan bila fikiran saya melayang sejauh itu, barulah saya sedar yang saya terlalu banyak menonton filem.

Saya betul-betul melengahkan masa sebab garisan permulaan tu dekat betul dengan hotel saya. Jaraknya 15 minit saja kalau jalan kaki. Dan berjalan kaki waktu subuh di Cyberjaya memang seronok.

Saya sampai dalam 5 minit sebab saya pergi naik kereta.

--

--

Hadi M. Nor

Catatan tentang video game, filem, muzik, buku, dan kadang-kadang kehidupan.